Aziz Muda |
KUALA LUMPUR: Skim 'Rumah Pertamaku' yang kini dihadkan kepada pinjaman RM100,000 hingga RM200,000, dicadang dinaikkan sehingga RM350,000 bagi membolehkan golongan muda memiliki rumah yang diidamkan. Bagi membolehkan skim itu direalisasikan, gaji pekerja di negara ini di pelbagai peringkat terutama lepasan universiti, dicadang dinaikkan lagi selaras dengan keperluan semasa. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, peningkatan skim tersebut merupakan satu keperluan bagi membolehkan rakyat, terutama golongan muda yang menjadi golongan sasarnya, benar-benar memiliki rumah dan tidak hanya sebagai slogan. Menurut beliau, itulah realiti sebenarnya berhubung skim itu dan itulah juga langkah yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat sekiranya diberikan mandat memerintah negara ini menerusi PRU Ke-13 nanti. Katanya, perkara itu amat berbeza dengan Skim 'Rumah Pertamaku" yang diperkenalkan oleh Kerajaan BN yang hanya menghadkan pinjaman sebanyak RM100,000 hingga RM200,000 sahaja. "Walaupun dikatakan mendapat sambutan yang baik, tetapi dengan pinjaman sebanyak itu, dapatkah golongan muda memiliki rumah terutama yang tinggal di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Johor Bharu dan bandar-bandar besar yang lain? "Dengan pinjaman sebanyak itu, terutama di bandar-bandar besar, apakah jenis rumah yang mampu dibeli?" katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini. Sehubungan itu, beliau menyifatkan Skim 'Rumah Pertamaku' yang diperkenalkan oleh kerajaan BN itu hanyalah sebagai slogan indah Kerajaan BN bagi mempesonakan rakyat agar orang ramai termasuk golongan muda menyokong parti itu. "Hakikatnya dengan pinjaman sebanyak itu terutama di bandar-bandar besar, tak dapat pun dibeli rumah. Perkara ini sebenarnya perlu dilihat secara holistik. "Jadi rakyat tidak sepatutnya terpesona dengan skim yang hanya mengandungi slogan indah seperti itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. Perkara itu, katanya, menjadi lebih tidak relevan apabila dirujuk kepada bebanan yang ditanggung oleh para pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi sendiri yang terpaksa menanggung hutang PTPTN sebaik tamat pengajiannya. "Dahlah pinjaman yang dihadkan rendah dan gaji pula rendah, keluar sahaja universiti terpaksa pula tanggung hutang PTPTN. Jadi macam mana nak beli rumah?" katanya. Bagaimanapun, katanya, perkara itu tentunya berbeza jika rumah yang dimaksudkan menerusi skim itu sudah dijelaskan dengan nyata adalah rumah kos rendah. "Tetapi menerusi skim itu, tidak dinyatakan begitu. Inilah yang menimbulkan kemusykilan terutama kepada mereka yang tinggal di bandar-bandar besar yang tentunya mustahil untuk memiliki rumah dengan pinjaman sebanyak itu," katanya. Untuk menggula-gulakan rakyat, katanya, Kerajaan BN telah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam termasuk tentera dan guru baru-baru ini. "Namun gaji guru yang dinaikkan itu pula sebenarnya tidak menyeluruh. Hanya kalangan guru-guru tertentu sahaja yang dinaikkan gajinya. "Jadi bagaimana dengan guru-guru yang lain? Bagaimanakah pula dengan gaji kakitangan awam yang lain? Ini semua sebenarnya amat perlu dilihat secara holistik bagi membolehkan kita tidak terpesona dengan slogan indah Umno BN," tegas beliau. |
Jumaat, 20 Mei 2011
Skim 'Rumah Pertamaku' wajar dinaikkan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan