Rabu, 18 Mei 2011

Pakatan Rakyat prihatin kebajikan guru

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat negeri yang sangat prihatin terhadap kebajikan guru-guru negeri itu.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam kenyataan sempena sambutan Hari Guru berkata, guru-guru Kafa telah menikmati beberapa kenaikan gaji walaupun Pakatan Rakyat baru memerintah selama 3 tahun.

Selain itu katanya, tawaran kenaikan RM500 untuk setiap guru dari dalam Buku Jingga juga memperlihat keprihatinan Pakatan Rakyat dalam memartabatkan guru-guru sebagai orang yang sanggup bersusah-payah,semata-mata untuk melahirkan generasi yang berilmu dan bakal menjadi pelapis kepimpinan negara.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan Selamat hari Guru kepada seluruh guru khususnya di Negeri Selangor.

"Tanggal 16 Mei pada setiap tahun telah dijadikan tarikh keramat untuk memperingati jasa dan pengorbanan para guru yang telah bersusah payah dalam memberikan komitmen yang cukup tinggi untuk mendidik para generasi masyarakat menjadi orang yang berilmu, beriman dan bertaqwa dan seterusnya melahirkan pelapis-pelapis kepimpinan baru yang akan mewarisi kepimpinan sedia ada.

"Pemuda PAS Negeri Selangor amat menghargai sumbangan guru-uru yang cukup bermakna kepada kami kerana di atas jerih perih guru-guru mendidik dan mengajar kami maka ada di kalangan kami kini menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

DPPNS juga katanya berharap kerajaan negeri konsisten dalam menjaga kebajikan seluruh warga guru di semua peringkat bermula dari pendidikan pra sekolah sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi di Selangor.

Dalam Buku Jingga yang dilancarkan di konvensyennya November tahun lalu, Pakatan mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru menjelang 100 hari, jika berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya sebagai menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara.

Pada kempen pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau mac lalu,Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba meniru Buku Jingga apabila berjanji memberi ganjaran Anugerah Tawaran Baru serta-merta sebanyak RM7,500 seorang kepada 586 guru besar yang mencapai prestasi cemerlang dalam membangunkan kualiti murid dan sekolah.

Pemberian berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM18.4 juta iaitu sebahagian daripada dana RM2.492 bilion yang disalurkan kepada sekolah dan jabatan-jabatan pelajaran di seluruh negara.

Seramai 12,141 guru yang mencatat prestasi serupa di semua sekolah berkenaan turut menikmati ganjaran RM1,800 seorang, manakala guru selebihnya menerima RM900 seorang.

Isnin lalu, Menteri Datuk Seri Najib Razak pula mengumumkan bahawa guru-guru akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 Januari tahun depan dalam usaha menambahbaik skim perkhidmatan guru.

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat menyifatkan tawaran-tawaran ini sebagai langkah 'melawan' Buku Jingga yang dilihat mampu menarik hati rakyat.

Tiada ulasan: