Selasa, 17 Mei 2011

NGO Aman mahu Ibrahim Ali ditahan guna Akta Darurat

Oleh Syed Mu’az Syed Putra dan Latifah Kasmuri



KUALA LUMPUR — Angkatan Warga Aman Malaysia (Aman) menggesa Kementerian Dalam Negeri menahan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali di bawah Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) ekoran kesediaan melancarkan “perang jihad” ke atas komuniti Kristian.

Ibrahim (gambar)dalam ceramahnya kelmarin memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan “perang jihad” jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu berkata, beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.

Menurut Pengerusi Aman AP Raja Retinam, kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim itu “amat bahaya”, boleh mencetuskan keadaan tidak aman dalam negara.

“Kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim Ali berhubung perang jihad adalah satu kenyataan amat bahaya, kami mahu beliau ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Darurat kerana keluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

“Malah dalam kenyataannya itu beliau seolah-olah mencabar polis, macam mana sehingga hari ini masih tiada tindakan yang dikenakan terhadap Ibrahim Ali... sudah lebih 48 jam tapi kenapa tiada tindakan diambil?” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Ibrahim di Balai Polis Sentul di sini.

Selain itu, tegas Raja Retinam, Ibrahim perlu menerima hukuman seperti mana yang dikenakan terhadap ketua rangkaian Al-Qaeda Osama bin Laden awal bulan.

Sebelum ini Aman mendakwa ia merupakan gabungan kira-kira 200 pertubuhan bukan kerajaan.

“Beliau dilihat cuba menghasut rakyat untuk bertindak menentang komuniti Kritsian, ini tidak boleh,” katanya.

Tambah Raja Retinam, ini bukan kali pertama Perkasa dan Ibrahim mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara.

“Kenyataan yang dikeluarkan beliau adalah amat dahsyat, Kementerian Dalam Negeri harus ambil tindakan segera, tahan beliau di bawah Akta Darurat.

“Ini bukan kali pertama Perkasa dan Ibrahim Ali mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman seperti ini, ini sudah menjadi budaya Perkasa dengan sekarang disokong Pembela (Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam).

“Saya tidak nampak kenapa Ibrahim Ali ini kebal, begitu juga dengan Utusan Malaysia, sepatutnya terbitan Utusan Malaysia digantung dan editor juga perlu digantung sehingga siasatan selesai,” katanya merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian agama rasmi?” yang diterbitkan pada 7 Mei lalu.

Bercakap secara peribadi sebagai anak jati kelahiran Kelantan, Raja Retinam menyifatkan Ibrahim tidak layak untuk menjadi rakyat negeri itu.

“Saya sebagai anak Kelantan berasa malu dengan kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim Ali, saya anak jati Kelantan dan rakyat Kelantan tidak akan kata perkara sebegitu.

“Saya rasa kelayakan beliau sebagai anak Kelantan perlu digugurkan kerana mengeluarkan kenyataan yang menjatuhkan imej orang Melayu dan Islam, beliau tidak layak untuk jadi rakyat Kelantan, rakyat Kelantan bukan seperti itu,” katanya.

Selain itu, beliau juga menegaskan, Umno tidak sepatutnya bertindak mempertahankan Utusan Malaysia yang mengeluarkan laporan yang tidak benar dan bersifat fitnah.

“Umno terpaksa mempertahankan Utusan Malaysia sebab Umno adalah bos walaupun apa yang dilaporkan itu tidak betul.

“Utusan Malaysia bukan mewakili orang Melayu,” katanya dengan merujuk kepada edaran akhbar itu yang dikatakan merosot.

Ekoran kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan apa yang dikatakan Ibrahim itu tidak mewakili keseluruhan masyarakat Melayu.

“Saya tidak melihat Ibrahim Ali mewakili keseluruhan orang Melayu atau (masyarakat) Muslim (negara ini). Seperti Osama bin Laden, beliau tidak mewakili keseluruhan umat Islam,” katanya.

Semalam, Presiden Gerakan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meminta polis agar menyiasat ucapan-ucapan Ibrahim sejak beberapa hari lalu.

Malah hari ini DAP menggesa Putrajaya mengambil tindakan tegas terhadap Ibrahim
.

Tiada ulasan: