Pilihan raya umum ke-13 akan datang dijangka paling sengit bakal dihadapi oleh BN kerana parti-parti pembangkang yang bertanding sangat agresif, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Rakyat sekarang menuntut pelbagai perkara dan perlu dipenuhi," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Baling di Kompleks Rakan Muda di Baling hari ini.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN berkata, BN perlu membuat persiapan lebih baik dan mantap untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang walaupun perhatian masyarakat terhadap BN dan Umno khususnya meningkat.
"Kita kena tanya selepas PRU-13 masihkah kita berkuasa...ia sangat perit sekiranya tidak dapat menguasai dua pertiga dari kerusi dalam dewan.
Muhyiddin berkata, setiap anggota Umno hendaklah beristiqamah dan mengambil iktibar daripada kekalahan pada pilihan raya umum yang lalu pada 2008.
"Saya bersyukur semangat ahli-ahli Umno bertambah baik dan kuat dan trend perubahan sikap ini baik dan penting menjelang PRU akan datang," katanya.
Beliau berkata, transformasi dalam pelbagai perkara yang dibawa kerajaan pusat adalah baik untuk semua kaum dan negara.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar-dasar pembangkang sangat tidak adil dan memeritkan golongan Bumiputera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan