Ahad, 8 Mei 2011

Kristian-Islam: Gereja timbang saman Utusan siar laporan palsu

THE MALAYSIAN INSIDER

GEORGE TOWN— Bishop Antony Selvanayagam mendakwa Utusan Malaysia berbohong kononnya Gereja Katolik Pulau Pinang berperanan dalam konspirasi, didakwa mahu menjadikan individu beragama Kristian sebagai perdana menteri sambil menegaskan, ia akan berunding dengan peguamnya mengenai bakal tindakan perundangan ke atas akhbar tersebut.

Katanya, beliau dan pertubuhan itu tiada tahu-menahu mengenai pertemuan yang Utusan Malaysia dakwa telah diadakan untuk menjadikan perdana menteri daripada kalangan komuniti Kristian dan mengubah status agama rasmi negara ini.

“Laporan itu tidak benar. Tiada pertemuan sedemikian di mana-mana gereja Katolik atau kemudahan di sini. Sebaga biskop, saya pastinya tahu,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi malam tadi.

“Ini laporan palsu,” kata Selvanayagam.

Katanya, tiada mana-mana pihak kecuali The Malaysian Insider yangmenghubungi beliau untuk mendapatkan kesahihan maklumat sebelum menerbitkan laporan tersebut.

Justeru ditanya sama ada beliau bercadang untuk mengambil tindakan ke atas Utusan Malaysia, katanya:

“Dengan segera, buat masa sekarang, saya tidak dapat memberitahu apa-apa. Saya perlu berunding dengan Gereja Katolik dan penasihat undang-undang saya.”

Selvanayagam, yang menjadi biskop sejak 1980 juga menolak dakwaan mengaitkan Gereja Katolik dengan konspirasi politik untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini.

“Setahu Gereja Katolik, kami tidak terlibat,” katanya sambil menafikan keras tindakan kumpulan-kumpulan Islam untuk membawa gereja ke dalam kontroversi ini dengan menimbulkan isu pertikaian kalimah “Allah”.

Utusan Malaysia edisi semalam membawa laporan muka depan bertajuk “Kristian agama rasmi”, berdasarkan tulisan dibawa beberapa blogger pro-Umno.

Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan syarat agama atau kaum bagi seseorang menjadi perdana menteri.

Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan malam kelmarin.

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi juga menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan pertemuan paderi dari seluruh negara, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut sebagai tetamu.

Petang semalam, DAP menolak laporan Utusan Malaysia yang mendakwa parti itu berkonspirasi dengan pemimpin-pemimpin Kristian untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu juga mendakwa laporan akhbar milik Umno itu satu pembohongan yang bahaya kepada negara.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan, pembohongan sedemikian bercanggah dengan konsep 1 Malaysia yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Tiada ulasan: