Rabu, 18 Mei 2011

Kongres Buruh berlandaskan Buku Jingga 22 Mei

KEADILAN DAILY


SHAH ALAM: KEADILAN akan menganjurkan Kongres Buruh pada 22 Mei ini bagi menuntut hak-hak buruh seluruh negara yang tidak pernah ditunaikan oleh kerajaan.

Program ini menggabungkan inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan Gabungan Kesatuan Sekerja dan diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor.

“Di saat keadaan ekonomi tidak menentu dan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi, buruh terus menjadi mangsa apabila isu gaji minima gagal dilaksanakan di Malaysia.

“Isu golongan buruh harus terus mendapat tempat. Walaupun pelbagai jaminan ditaburkan kepada rakyat oleh kerajaan, namun hak-hak buruh tidak dipedulikan oleh kerajaan,” kata Abdullah pada sidang media di Dewan Latihan, Jabatan Latihan dan Komunikasi (CCSB), semalam.

Forum ‘Buruh Mengikut Pandangan Buku Jingga’ akan dibarisi panelis antaranya Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, Syed Shahir Syed Mohamud, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M.Kulasegaran, Tuan Mohd Anuar Mohd Tahir dan Prof Dr.Abu Hassan Hasbullah.

Ia akan bermula jam 8 pagi hingga 2 petang dimulai dengan hujah setiap wakil kesatuan pekerja dan ahli akademik. Manakala sesi ulasan akan disampaikan Datuk Seri Nizar Jamluddin.

Resolusi dan tuntutan yang terhasil akan diserahkan kepada Presiden KEADILAN, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdullah menganggarkan kehadiran sehingga 5000 orang berdasarkan maklum balas dan sokongan daripada kesatuan sekerja dan NGO.

“Kita akan menghebahkan melalui facebook, blog, hantar melalui faks kepada kilang-kilang dan syarikat-syarikat supaya maklumat mengenai kongres itu diketahui ramai dan menjangkakan lebih ramai yang datang,” ujarnya.

Tiada ulasan: