Sabtu, 7 Mei 2011

Isteri Osama tak pernah tinggalkan rumah agam lima tahun

THE MALAYSIAN INSIDER


Isteri Osama tak pernah tinggalkan rumah agam lima tahun
ISLAMABAD— Salah seorang daripada tiga isteri yang tinggal bersama Osama bin Laden memberitahu pihak berkuasa Pakistan bahawa dia tidak pernah meninggalkan rumah dihuni ketua rangkaian Al-Qeada selama lima tahun lalu.

Rumah mereka tinggal, dianggarkan bernilai dua hingga tiga juta ringgit, dilaporkan siap dibina pada 2005.

Wanita itu yang dikenali sebagai Amal Ahmed Abdullfattah, kelahiran Yemen, tinggal di kawasan persembunyian Osama selama lima tahun dan dilihat pihak berkuasa Pakistan boleh menjadi sumber utama untuk mendapatkan maklumat mengenai bagaimana ketua pengganas paling dikehendaki Amerika Syarikat (AS) itu boleh mengelak daripada ditangkap begitu lama.

Amal merupakan isteri kelima Osama.

AS memburu Osama sejak lebih satu dekad dengan pemburuan dipertingkatkan selepas peristiwa 11 September.

Menurut laman web msb.com, Amal dilaporkan berkata dia tidak pernah keluar dari tingkat atas rumah agam di timur laut Islamabad sejak dia berpindah ke sana.

Rumah itu yang mempunyai kawalan ketat terdiri daripada tiga aras.

Osama dilaporkan tinggal di tingkat satu.

Nama wanita itu juga pernah muncul dalam laporan-laporan sebelum ini, dikenali sebagai Amal Ahmed Abdul Fatah dan Amal Ahmed al-Sadah.

Amal dan dua lagi isteri Osama sedang disoal siasat pasukan penyiasat di Pakistan selepas mereka ditahan dalam operasi pasukan elit Amerika di bandar tentera Abbottabad, awal pagi Isnin lalu.

Pihak berkuasa Pakistan juga menahan lapan atau sembilan anak mereka yang ditemui di rumah itu selepas komando meninggalkan lokasi serbuan.

Ekoran butiran yang sering berubah-rubah dan tidak lengkap daripada pegawai-pegawai Amerika tentang apa yang sebenarnya berlaku, keterangan isteri-isteri Osama dilihat akan menjadi signifikan dalam mendedahkan persekitaran terperinci tentang operasi tersebut.

Malah keterangan mereka juga akan mendedahkan bagaimana Osama menghabiskan masanya dan berjaya tinggal di tempat persembunyian, tinggal di sebuah rumah besar yang dekat dengan akademi tentera dan dua setengah jam perjalanan dari Islamabad.

Tiada ulasan: