Isnin, 2 Mei 2011

Detik-detik operasi AS bunuh Osama

LAPORAN: AGENSI


Sedutan rakaman video menunjukkan pekarangan rumah dihuni Osama di Abbottabad menjadi sasaran pasukan AS awal pagi ini (waktu Malaysia). – Foto Reuters
LONDON– Butiran terperinci mula muncul mengenai operasi pasukan keselamatan Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada kematian pengasas dan ketua rangkaian Al-Qaeda Osama bin Laden.

Menjelang tengah hari tadi (waktu Malaysia) Presiden Barack Obama mengesahkan Obama terbunuh dalam serangan pasukan elit negaranya.

Rumah didiami Osama, dipercayai dia tinggal sejak lima hingga enam tahun lalu di Abbottabad, timur laut Pakistan, hanya terletak kira-kira 800 ela (266 meter) dari Akademi Tentera Pakistan.

Akademi itu merupakan pusat latihan ketenteraan elit Pakistan, yang menurut laporan bersamaan dengan akademi latihan tentera Britain, Sandhurst.

Oleh kerana kawasan perumahan itu terletak dalam lingkungan pusat latihan tentera di Abbottabad – dipercayai sepatutnya menjadi pengawasan ketat dan kehadiran tentera yang signifikan.

Operasi menyerang lokasi Osama tinggal itu bermula pada pukul 1.30 pagi ini waktu Malaysia (5.30 petang GMT) dan berlarutan kira-kira 45 minit, lapor BBC.

Dua atau tiga helikopter dikatakan berterbang rendah di kawasan perumahan itu sebelum operasi bermula.

Saksi juga berkata ia menyebabkan suasana panik di kalangan penduduk tempatan.

Sasaran operasi itu ialah pekarangan kediaman itu yang di tengah-tengahnya terletak rumah tiga tingkat.

Apabila helikopter mendarat, beberapa lelaki keluar dan bercakap dengan penduduk tempatan dalam bahasa Pashto.

Penduduk yang tinggal di kawasan itu, yang dikenali sebagai Tanda Choha diminta mematikan lampu dan tidak keluar rumah.

Sejurus selepas itu mereka dengar bunyi tembakan dan letupan.

Sumber juga berkata pada satu ketika bunyi helikopter terbabas juga kedengaran, dipercayai akibat terkena serangan dari darat.

Bangkai helikopter kelihatan di kawasan berhampiran.

Selain Osama empat orang termasuk seorang anak lelakinya dan seorang wanita terbunuh.

Siaran TV Al Arabiya melaporkan bahawa isteri Osama dan empat anaknya turut ditahan ketika operasi itu. – Agensi

Tiada ulasan: