Jumaat, 27 Mei 2011

Blog hina Islam: PAS gesa Jakim, SKMM bertindak segera

Tindakan blogger yang menggunakan nama entri Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara untuk menghina agama Islam adalah keterlaluan dan melampau.


PETALING JAYA: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi menggesa Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak segera terhadap entri blog yang menghina Islam.

Beliau berkata, tindakan blogger yang menggunakan nama entri Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara untuk menghina agama Islam adalah keterlaluan dan melampau.

“Jelas tindakan penulisan dalam entri blog itu disengajakan dan menyentuh sensitiviti umat Islam secara tidak langsung. Oleh itu, kita mahu Jakim dan SKMM bertindak segera kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam dan menghina Islam sebagai agama rasmi negara ini,” katanya kepada FMT.

FMT sebelum ini melaporkan mengenai kewujudan blog menggunakan nama Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara atau http://makcikhajjahsittalwuzara99.wordpress.com.

Malah sebuah akaun laman sosial facebook turut dikesan menggunakan profil ‘Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara’.

Kewujudan blog dan facebook itu dikesan Isnin lalu dengan memaparkan gambar palsu yang mencemar kesucian Kaabah dengan meletakkan gambar jerung serta penyanyi luar negara yang berpakaian seksi.

Laman sosial ‘gay’

Nasrudin turut menyatakan kebimbangan terhadap situasi semasa apabila turut dikesan blog mahupun facebook ‘gay’ yang kini menjadi minat anak-anak muda.

Beliau berkata perhatian khusus perlu diberikan oleh pihak berkenaan supaya masalah sosial ini tidak berkembang dan merosakkan akhlak remaja.


“Bukan setakat blog hina agama yang disebarkan dalam laman sosial facebook, tetapi sekarang ini banyak blog dan facebook tentang ‘gay’. Ini juga perlu perhatian serius daripada pihak berkenaan. Masalah sosial seperti ini semakin bertambah,” katanya.

Ujar beliau, “kegiatan seperti ini akan merosakkan agama, budaya dan sosial. Dalam agama lain tidak ada yang bersetuju dengan kegiatan sosial ‘gay’ ini.

“Malah agama lain bersependapat bahawa ia kegiatan sosial yang songsang dan merosakkan tamadun. Benda seperti ini tidak boleh dipandang ringan.

“Kita bukan mahu menghalang kebebasan orang ramai untuk mengakses maklumat atau sebagainya tetapi laman-laman sosial dan internet ini digunakan untuk mencetuskan gejala sosial yang kurang sihat,” tambah beliau.

Beliau turut kesal memandangkan pihak bertanggungjawab sengaja melengahkan perkara ini malah gagal untuk bertindak dengan tegas.

“Sudah banyak laporan polis telah dibuat namun ia semakin berleluasa. Majlis agama perlu kerah tenaga untuk memantau dan tangani ia sebaik mungkin.

“Sebelum ini kami membuat laporan kepada Jakim mengenai lambakan bacaan lucah dan majalah seumpamanya. Tetapi bila ditanya mengapa ia terus dikeluarkan pihak berkenaan mereka menyatakan ia dapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana takrif lucah itu ialah bila seseorang itu tidak berpakaian langsung.

“Ini yang dibimbangkan oleh Pemuda PAS……kerana kelonggaran dari pihak berkuasa sendiri,” katanya kesal.

Tiada ulasan: