Rabu, 25 Mei 2011

Adun Limbongan dijangka keluar hospital Khamis ini

Harakahdaily


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menziarahi Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat di Hospital Raja Perempuan Zainab II yang sehingga hari ini masih dirawat sejak dimasukkan pada 19 Mei lalu akibat pendarahan usus.

Ini adalah kali yang kedua Tuan Guru menziarahi Zainuddin dalam tempoh beliau mendapat rawatan di situ, lapor portal MTD Limbongan.

Zainuddin yang telah dipindahkan dari Wad CCU ke Wad 10 dua hari lepas kini sedang menjalani rawatan susulan bagi memastikan tahap kesihatan betul-betul pulih sebelum kembali bertugas.

Menurut kata Dr Nur Atiqah, pegawai perubatan yang merawat beliau, Zainuddin dijangkakan dapat pulang ke rumah pada Khamis ini.

Dalam pada itu, Tuan Guru Menteri Besar berpesan seluruh warga khasnya di Limbongan agar tidak perlu risau lagi tentang ketiadaan Adun buat sementara waktu dan berharap rakyat sekalian akan terus berdoa memohon kepada Allah SWT agar Zainuddin akan kembali bertugas seperti biasa.

Zainuddin ketika ditanya, menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT kerana masih lagi diberi kesempatan untuk meneruskan perjuangan dalam memartabatkan agama yang syumul dan insya Allah akan kembali bertugas untuk terus memikul amanah rakyat seawal yang boleh.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang prihatin dengan masalah kesihatan yang dialaminya dan tidak lupa juga kepada semua yang datang menziarahinya di situ.

Tiada ulasan: