Sabtu, 7 Mei 2011

40% Rumah Mampu Milik untuk pembeli 35 Tahun ke bawah

MERDEKA REVIEW

40% rumah mampu milik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor akan dikhaskan untuk pembeli berumur 35 tahun ke bawah. Kerajaan negeri telah memperkenal rumah mampu milik yang berkeluasan di antara 750 hingga 850 kaki persegi dan berharga di antara RM69,000 hingga RM100,000.

Rumah-rumah tersebut dalam bentuk pangsapuri akan dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pemaju-pemaju swasta yang bersetuju menyertai program ini. Lebih 2,000 unit akan dibina di pelbagai lokasi di Selangor dengan fasa pertama dilancarkan di Bangi pada 31 Mei depan.

Rumah mampu milik ini adalah untuk mereka yang berpendapatan di antara RM2,500 dan RM5,000 sebulan. Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) akan mengawal jualan rumah mampu milik ini agar hanya mereka yang layak dapat membelinya.

Sehubungan itu Kerajaan negeri akan menganjurkan seminar rumah mampu milik pada 5 Julai 2011 di SACC Convec, Shah Alam. LPHS dan PKNS akan mengendalikan seminar ini dan akan membentangkan rekabentuk-rekabentuk rumah mampu milik yang telah dihasilkan oleh PKNS.

Tujuan seminar ini adalah untuk mendapatkan maklumbalas dan pandangan terhadap rekabentuk-rekabentuk yang telah dihasilkan itu.

Para pemaju, para profesional, ahli-ahli akademik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dijemput ke seminar tersebut.

PKNS telah mengenalpasti 6 tapak untuk membina rumah-rumah mampu milik.

*Kenyataan media oleh Iskandar Abdul Samad (gambar kiri) selaku EXCO Selangor/Pengerusi Jawatankuasa Tetap.

Tiada ulasan: