MALAYSIA KINIKumpulan pelajar Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-M) akan melancarkan 'Manifesto Mahasiswa Nasional' yang merangkumi autonomi kampus dan autonomi mahasiswa.
Menurut satu kenyataan hari ini, manifesto tersebut akan dilancarkan selepas Pro-Mahasiswa Nasional dengan kerjasama Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menghantar memorandum bantahan kepada SUHAKAM Rabu ini.
"Akhir kepada serahan memorandum ini, Pro-Mahasiswa Nasional akan melancarkan satu Manifesto Mahasiswa Nasional yang merangkumi autonomi kampus dan autonomi mahasiswa," kata kenyataan tersebut.
Bulan lalu, Pro-M Universiti Putra Malaysia (UPM) menyuarakan tuntutan supaya pentadbiran universiti memberi "peluang sepenuhnya" kepada mahasiswa untuk menguruskan pilihan raya kampus.
Memorandum berkenaan juga menggesa supaya pelajar dibenar menjalankan pilihan raya berkenaan "bermula dari proses pembelian borang, pendaftaran penamaan calon, hari penamaan calon sehinggalah kepada pengumuman keputusan rasmi."
Pengerusi Pro-M UPM Syed Shafiq Syed Hashim dilaporkan berkata tuntutan itu dikemukakan kerana "pihaknya sudah hilang kepercayaan terhadap jawatankuasa yang diamanahkan" untuk menguruskan pilihan raya kampus.
Antaranya ialah dakwaan pengurangan kerusi umum, anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) tidak dibenarkan menjadi calon, pencadang atau menyokong serta pelajar ijazah sarjana dibenarkan mengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan