KAHERAH — Presiden Hosni Mubarak yang berhadapan dengan tunjuk perasaan berlarutan lebih seminggu mengumumkan tidak akan bertanding semula pada pemilihan September ini dan menolak sama sekali tuntutan agar meletakkan jawatan segera dan meninggalkan negara itu.
Laporan BBC juga berkata Hosni juga tidak berkata apa-apa sama ada akan meletakkan anak lelakinya Gamal Mubarak sebagai penggantinya.
Kesan di Mesir juga dirasai di Jordan dengan pemerintah negara itu merombak Kabinet dan melantik perdana menteri yang baru.
Pengumuman Hosni (gambar) itu dibuat ketika ribuan rakyat berhimpun di ibu negara Mesir meminta Hosni berundur segera.
Pemimpin yang menerajui Mesir tiga dekad bertekad akan mati di bumi negara utara Afrika itu.
Sejurus selepas ucapannya itu, penunjuk perasaan dan penyokong-penyokong kerjaaan bertempur di Iskandariah, bandar Mediterranean, dan bunyi tembakan juga kedengaran, lapor stesen Al-Jazeera.
Dalam ucapan 10 minit, Hosni, 82, kelihatan muram tetapi bercakap dengan tegas seolah-olah tiada sebarang tekanan daripada demonstrasi.
Hosni mengakui beliau ada melakukan kesilapan sepanjang tiga dekad pemerintahan tetapi menegaskan keputusannya untuk tidak bertanding buat penggal keenam tiada kaitan dengan tunjuk perasaan lebih seminggu itu.
Tunjuk perasaan di Mesir itu menyusul pergolakan politik di Tunisia, satu lagi negara Islam.
“Saya memberitahu anda semua dengan jujur, tanpa mengira keadaan semasa, saya tidak pernah berhasrat untuk menjadi calon satu lagi penggal,” katanya.
“Saya akan berkhidmat ke arah bulan-bulan terakhir ini untuk membolehkan peralihan kuasa secara aman (dapat diadakan),” kata bekas komander angkatan tentera udara yang mengambil alih kepimpinan pada 1981.
“Ini tanah air saya... saya tinggal di sini, saya berjuang bagi negara ini dan saya mempertahankan negara ini, kedaulatan dan kepentingan negara ini.
“Di bumi ini, saya akan mati. Sejarah akan menilai saya dan kita semua,” kata Hosni, rakan karib Amerika Syarikat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan