Selasa, 7 September 2010

SU politik MB Johor selamat dikebumikan

Abdul Rahim Sabri

Setiausaha politik menteri besar Johor, Dr Gunawan Mahmood meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri di pejabatnya di bangunan Datuk Jaafar Muhammad jam 3 petang semalam, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Felda Ulu Tebrau.

Jenazah beliau selamat disemadikan di tanah perkuburan itu kira-kira jam 10 pagi tadi.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, exco kerajaan negeri Johor Datuk Maulizan Bujang - yang baru sahaja pulang daripada mengunjungi allahyarham - mengesahkan perkara tersebut.

Dr Gunawan, 51, meninggalkan seorang isteri, Norhayati Maarof dan tiga anak perempuan dan seorang lelaki berusia antara 13 hingga 21 tahun.

Sebelum bertugas sebagai setiausaha politik menteri besar Johor pada tahun 2008, Dr Gunawan berkhidmat sebagai pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Penerangan (JASA) negeri itu.

Allahyarham juga merupakan penasihat persatuan penulis negeri Johor.

Sebelum ini dilaporkan Dr Gunawan yang menghidap diabetes, mengadu tidak sihat di sebelah pagi dan telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

Beliau kemudiannya balik ke pejabatnya untuk berehat namun kemudiannya ditemui dalam keadaan terkulai dan sudah tidak bernyawa oleh beberapa kakitangan pejabat menteri besar.

Tiada ulasan: