Khamis, 16 September 2010

SPRM DIGESA SIASAT 16 PROJEK MEGA NKRA

Oleh: MOHD YATIM SUHAILI (sabahkini)

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan segera dan membatalkan perlantikan 16 kontraktor (Jika perlantikan sudah dibuat) bagi 16 Projek Mega di bawah projek NKRA Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW).

Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah, Zainuddin Hassan membuat gesaan demikian sebagai mengulas pendedahan yang dibuat oleh Aktivis Masyarakat, Abdullahsani Haji Abdul Salleh melalui artikel ‘KKLW Shopping Raya Guna NKRA’ yang disiarkan pada 9 September 2010.

“Kenapa SPRM suka menunggu sehingga tender di award baru mahu mengambil tindakan sedangkan pada dasarkan, langkah pencegahan lebih baik; apatah lagi dalam keadaan imej SPRM semakin merudum akibat kalah dalam semua kes berprofail tinggi di Mahkamah,” ujar Zainuddin yang menyifatkan SPRM masih mengekalkan gelaran sebagai ‘Harimau Kertas’.

Menurut Zainuddin, beliau mendapat maklumat bahawa setiap kontraktor yang bersetuju syarikat mereka dipinjam atau disenaraikan nama di dalam tender terhad telah ‘dibayar’ saguhati antara RM30,000 sehingga RM50,000 oleh Kontraktor Utama yang ditawarkan kontrak berkenaan.

“Tender terhad tersebut dipanggil sekadar memenuhi syarat. Inilah tipu helah kerajaan Barisan Nasional, terutama Menteri KKLW yang menyalahguna kuasa untuk memberikan 16 kontrak mega kepada kontraktor milik proksi dan kroninya, apatah lagi dalam usaha akhir mengumpulkan dana untuk melaksanakan misinya bagi merampas kerusi Ketua Menteri Sabah,” ujar Zainuddin yang telah menemui beberapa kontraktor yang syarikat mereka disenaraikan tanpa persetujuan ahli lembaga pengarah.

Dalam pada itu, Zainuddin turut menggesa agar Kementerian Kewangan membatalkan kelulusan memanggil tender terhad kerana senarai kontraktor yang dikemukakan sekadar ‘mencukupkan korum’ dan tidak berwibawa langsung untuk menyertai 16 tender berkenaan.

Tegas Zainuddin lagi, ada kontraktor yang hanya menumpang pejabat dan tidak mempunyai kakitangan dan tidak pernah mendapat kontrak kerajaan sejak antara dua hingga empat tahun lalu.

“Jika KKLW menggunakan prosedur tender kerajaan dan Arahan Perbendaharaan, hanya kontraktor yang layak sahaja akan disenarai pendek untuk ditemuduga atau disenaraikan untuk kelulusan sebelum mereka diberi borang tender,” ujar Zainuddin menunjukkan ada yang tidak kena dengan 16 Projek NKRA berkenaan.

Menurut Zainuddin, pihaknya juga mempunyai bukti bahawa projek Menaiktaraf Jalan Kibbas-Mohimboyan, Ranau telah dianugerahkan kepada UPKO melalui Datuk Saringan Gubat menggunakan salah satu daripada lapan syarikat yang disenaraikan.

“Kita turut mendapat maklumat, Projek Membina Jalan Kg Bangkahak Baru-Kg Zing, Kota Belud yang menyenaraikan sembilan kontraktor untuk menyertai tender terhad, khabarnya diberikan kepada proksi Menteri KKLW iaitu orang Mantan Ketua Pemuda UMNO Kota Belud, Mastan Haji Hassan,” kata Zainuddin yang akan membuat pendedahan lanjut jika diperlukan SPRM.

Zainuddin tidak menolak kemungkinan bahawa selain 16 projek tersebut, ada lagi beberapa Projek penting NKRA KKLW yang bakal dikeluarkan dalam masa yang singkat, termasuk Projek Menaiktaraf Jalan Bambangan, Sandakan yang diberikan kepada UMNO Batu Sapi melalui Ketua Pemudanya, Khairul Firdaus Akhbar Khan dan akan dilaksanakan oleh seorang Kontraktor bernama Henry Lee.

Bagi mempastikan dakwaan Zainuddin mempunyai asas, Krew Sabahkini.net telah menjalankan kajian rambang ke atas 74 Kontraktor terpilih dan kebanyakannya sudah ‘Dorman’ kerana sudah lama tidak mendapat projek kerajaan dan bersedia untuk disewa bagi mencukupkan kouta.

Terdapat juga kontraktor ‘Bidan Terjun’ kerana Kelas C atau ‘Kelas Kambing’; tetapi disenaraikan untuk melaksanakan kerja yang hanya boleh dilakukan oleh Kontraktor Kelas A.

Agak mengejutkan apabila ada Adun dan Pembantu Menteri tidak menyedari nama mereka masih disenaraikan sebagai Pengarah dalam syarikat yang disenaraikan untuk memperolehi tender terhad atau sekadar mencukupkan korum 16 Projek Mega NKRA tersebut.

Suami Datuk Mumtaz Jaafar, ‘orang kuat kepada isteri Perdana Menteri, iaitu Domami Hussain turut mencuba nasib melalui syarikatnya, Kinabalu Handal Sdn. Bhd yang disenaraikan untuk melaksanakan kerja Projek Membina Jalan Wakuba, Tawau; Projek Membina Jalan Gonipis-Tebobon, Kiulu, Tuaran dan Projek Membina Jalan Kemabong-Marrais, Tenom bersama beberapa kontraktor lain.

Kajian hanya mengambil kira kontrak kerja yang mereka perolehi dua tahun ke belakang dan tidak mengendahkan rekod kerja selepas dua tahun lalu.

Berita Selanjutnya di Sabahkini


Tiada ulasan: