Jumaat, 3 September 2010

Pemilihan PKR Kedah: Banyak muka baru cuba nasib


ahmad kasimOleh Qayum Rahman

PETALING JAYA: Pemilihan calon PKR peringkat Cabang di Kedah menyaksikan banyak muka baru yang akan tampil mencuba nasib dalam merebut kerusi Ketua Cabang mahupun Timbalan Ketua Cabang.

Pengerusi PKR Kedah Ahmad Kassim berkata, sebanyak 15 cabang terlibat dalam pemilihan calon kali ini dan mungkin juga sesetengah cabang tidak akan dicabar.

"Saya masih tidak mengetahui dengan tepat siapa calon-calon yang bakal bertanding mahupun bakal di cabar sehingga kini tetapi boleh dikatakan banyak muka baru akan bertanding.

"Hari ini saya baru meninjau kawasan-kawasan yang bakal dijadikan tempat pencalonan untuk mengetahui persiapan yang telah dilakukan setiap cabang PKR Kedah," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini.

Kassim yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah berkata, kerusi untuk jawatan Timbalan Ketua Cabang Kuala Kedah yang disandang beliau sebelum ini tidak dicabar oleh mana-mana pihak sehingga hari ini.

"Ekoran kerusi Timbalan Ketua Cabang Kuala Kedah tidak dicabar, saya diputuskan masih tetap memegang jawatan tersebut untuk pemilihan kali ini.

"Bagi kerusi Ketua Cabang, Dr Azman Ismail bakal dicabar oleh ahli PKR Murfi Ahmad," katanya.

Melaksana tanggungjawab

manikumar Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau S Manikumar Subramaniam diketika dihubungi pula berkata, beliau akan bertanding merebut kerusi Timbalan Ketua Cabang Merbok dengan dicabar oleh Ahli Majlis PKR Merbok Mohtar Ismail.

"Saya tidak anggap pemilihan ini satu pertempuran hebat untuk menentang lawan kerana pemilihan ini adalah salah satu jalan terbaik untuk membantu PKR lebih kukuh di masa hadapan.

"Tidak kira siapa kalah atau menang kerana ianya semua adalah untuk perjuangan parti. Kita hanya mengharapkan ahli-ahli PKR sedia ada dapat memilih pemimpin terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab lebih baik untuk parti," katanya.

Menurutnya, bagi kerusi Ketua Cabang Merbok, Datuk Rashid Din yang sebelum ini memegang kerusi tersebut bakal dicabar oleh Ketua AMK Kedah Saiful Izham.

Rashid ketika dihubungi berkata, pemilihan PKR negeri Kedah akan berjalan lancar berikutan ahli sedia menunjukkan sokongan penuh dalam melaksanakan tanggungjawab memilih calon pilihan mereka.

"Kalau ahli sendiri dah tahu kerja kita bagus, mesti ahli akan terus memberi sokongan kepada kita bagi menjadi pemimpin Cabang mereka.

"Saya tidak merasa lawan saya itu adalah satu cabaran sengit dalam PKR kerana kita bukan seperti Umno dan Barisan Nasional yang sanggup menggunakan cara kotor dengan merasuah ahli untuk mendapat jawatan tertinggi dalam pemilihan parti sendiri," katanya

Tiada ulasan: