NATIONAL UNION OF JOURNALISTS MALAYSIA (NUJ Malaysia) hari ini mendesak parti-parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) menarik balik larangan kepada wartawan-wartawan yang bernaung di bawah kesatuan dan bertugas di akhbar-akhbar arus perdana dari membuat liputan dalam acara-acara anjuran parti tersebut.
NUJ Malaysia juga mendesak parti-parti di dalam Barisan Nasional (BN) juga menarik balik larangan kepada laman-laman berita bebas seperti MalaysiaKini dan Malaysian Insider daripada membuat liputan acara-acara yang dianjurkan oleh parti tersebut.
NUJ Malaysia juga mendesak negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan juga menarik balik larangan kepada wartawan-wartawan yang bernaung di bawah kesatuan dari membuat liputan dalam acara-acara anjuran negeri terbabit.
Wartawan-wartawan di bawah naungan NUJ Malaysia merupakan wartawan profesional yang mendukung prinsip kebebasan media dan etika kewartawanan yang tinggi.
NUJ Malaysia dimaklumkan bahawa larangan itu telah berkuatkuasa agak lama dan ia memberi implikasi yang buruk kepada standard kebebasan media di negara ini. Kesatuan juga berpendirian bahawa bahawa setiap wartawan sama ada dari laman berita bebas seperti MalaysiaKini dan Malaysian Insider, akhbar arus perdana dan akhbar-akhbar kecil serta akhbar yang diterbitkan oleh parti-parti politik tidak harus dilarang untuk membuat liputan untuk apa acara sekali pun.
Sekiranya semua pihak menukung prinsip kebebasan media dan etika kewartawanan, NUJ Malaysia berharap desakan ini dapat diterima dan larangan itu ditarik balik dengan serta merta.
*Kenyataan media oleh Hata Wahari selaku Presiden NUJ Malaysia, pada 24 September 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan