Khamis, 16 September 2010

Nazri cabar Perkasa jadi parti politik, cabar Umno-BN

TERKINI

KUALA LUMPUR — Di sebalik perang kenyataan mengenai dasar perjuangan Perkasa, Datuk Seri Nazri Aziz mencabar pertubuhan bukan kerajaan hak orang Melayu itu agar mendaftar sebagai parti politik, sekali gus berhadapan dengan Umno jika merasakan komponen BN tersebut telah gagal dalam menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Jika tidak, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini, pertubuhan tersebut harus berhenti daripada mendakwa yang ia mempunyai asas sokongan yang besar.

“Saya ingin mengesyorkan agar Perkasa mendaftar sebagai sebuah parti politik... hanya dengan itu kita boleh melihat sama ada mereka benar-benar berpengaruh sebagaimana mereka dakwa,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Kepimpinan Perkasa telah berulang kali menegaskan pertubuhan itu tidak akan dijadikan parti politik dan tidak akan menyertai politik.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali turut menegaskan perkara itu baru-baru ini.

Nazri meramalkan sekiranya Perkasa mengubah kedudukannya menjadi parti politik berbanding pertubuhan kerajaan sekarang beliau sangsi yang ia boleh menarik ahli Umno.

Ketika ini, Perkasa mendakwa mempunyai kira-kira 300,000 ahli dengan 60 peratus daripada mereka merupakan ahli Umno.

“Sekarang, mereka merupakan pertubuhan bukan kerajaan, jadi segelintir ahli Umno boleh menyertai mereka sebagai badan bukan politik... tetapi saya mahu melihat mereka mendaftar (sebagai parti politik) dan kemudian lihat berapa ramai yang akan menyertai mereka,” katanya.

“Sebagaimana didakwa oleh (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad), mereka sangat popular,” cabar Nazri.

Nazri berkata, dengan mendaftar sebagai parti politik Perkasa boleh berhadapan dengan Umno di padang persaingan yang sama pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya sangat, sangat berharap mereka akan buat demikian. Datang lawan kami di arena politik. Lihat berapa banyak sokongan mereka ada... berapa banyak kerusi mereka boleh menang,” kata Nazri lagi.

Tiada ulasan: