Sabtu, 25 September 2010

Kos pembinaan LCCT dijangka meningkat melepasi RM2 bilion

Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT) baru berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dinamakan sebagai KLIA2 dijangka membabitkan kos pembinaan lebih tinggi daripada jangkaan awal sebanyak RM2 bilion.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Tan Sri Bashir Ahmad, berkata ini kerana kelewatan pembinaannya berikutan beberapa perubahan dalam reka bentuk untuk tujuan peningkatan dan keselamatan serta kerja pembinaan landasan yang mengambil masa lebih lama.

Beliau berkata, KLIA2 yang awalnya dijangka siap pada hujung tahun depan kini dianjakkan ke April 2012.

“Bagaimanapun kita juga memperoleh penjimatan bagi projek ini kerana ia dilakukan secara tender terbuka,” katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah Terminal KLIA2 di KLIA, Sepang, kelmarin.

KLIA2 yang terletak kira-kira dua kilometer daripada Terminal Utama KLIA sedia ada dan berhampiran Kompleks Bunga Raya adalah terminal yang khusus dibina untuk penerbangan tambang murah terbesar di dunia dengan keluasan lantai 237,132 meter persegi.

Ia dibina dengan kapasiti mengendalikan sehingga 30 juta penumpang setahun, sekali gus mampu menampung peningkatan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah.

MAHB setakat ini telah menganugerahkan sebahagian besar pakej kerja utama pembinaan projek itu membabitkan nilai RM2 bilion yang menyamai jangkaan kos asalnya, manakala baki pakej akan dianugerahkan tidak lama lagi.

Awal bulan ini, syarikat itu menyatakan cadangan melaksanakan program sukuk hingga RM3.1 bilion untuk membiayai sebahagian daripada pembinaan KLIA 2 dan untuk membiayai semula pinjaman sedia ada.

Sementara itu, UEM Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UEM Group Bhd yang menjadi kontraktor utama pembinaan KLIA2 berkata, pembinaan kompleks terminal baru LCCT itu berjalan lancar dan mengikut jadual serta akan siap mengikut jadual iaitu menjelang April 2012.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Izzaddin Idris, berkata UEM Construction dengan rakan kongsi pembinaannya, Bina Puri Holdings Bhd sedang melakukan kerja awal meratakan tanah di Terminal Utama dan bangunan Satelit.

“Walaupun projek ini mencabar, kami yakin mampu menyiapkannya sebelum tarikh akhir dan menyerahkannya menjelang tarikh akhir ditetapkan untuk pembinaannya iaitu 20 bulan (April 2012) serta dalam lingkungan bajet yang dinyatakan tanpa mengabaikan aspek kualiti dan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan. -BH

Tiada ulasan: