Khamis, 23 September 2010

Kes Sosilawati: Pemuda Umno sedia khidmat peguam

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib mangsa pembunuhan kejam di Banting bulan lepas, terus menghulurkan pelbagai bantuan.

Terbaru, hari ini Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno yang diketuai Pengerusinya, Datuk Muhd Khairun Aseh tampil menyalurkan bantuan berbentuk khidmat guaman pemerhati kepada keluarga seorang daripada mangsa, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38.

Khairun berkata peguam pemerhati itu akan disediakan kepada keluarga mangsa apabila kes berkenaan didakwa di mahkamah kelak.

“Umno Bahagian dan Pemuda Pandan ada nyatakan hasrat meminta Pemuda Umno Malaysia dan Biro Aduan menyediakan khidmat peguam pemerhati nanti apabila pendakwaan dijalankan tak lama lagi. Kita di Biro Aduan bersedia kerana dalam Biro Aduan pun kita ada panel guaman,” katanya ketika melawat rumah keluarga Noorhisham di Taman Seraya, Ampang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda Umno Bahagian Pandan Hishamuddin Muhamad, yang juga Pengerusi Pemuda BN Parlimen Pandan.

Muhd Khairun berkata melalui panggilan telefonnya kepada bapa mentua Noorhisham, Ishak Radin Pangat pagi ini positif dan sangat gembira serta melahirkan rasa terharu dengan bantuan disalurkan demi pembelaan menantunya.

“Secara amnya beliau memang bersetuju, namun mahukan penerangan lanjut secara teknikal. Saya beritahu mereka apabila (mereka) pulang ke KL (Kuala Lumpur) nanti, saya akan beri penerangan lanjut kerana prosedurnya sangat mudah,” katanya.

Pada lawatan itu Muhd Khairun menyerahkan surat bantuan guaman untuk melantik peguam kepada wakil keluarga mangsa, Ismail Hasyim yang merupakan Timbalan Ketua Umno kawasan Taman Seraya, Ampang.

Ini berikutan isteri dan anak-anak allahyarham pulang ke kampung di Johor Bahru sejak Ahad lepas untuk menenangkan fikiran.

Ismail berkata keluarga Noorhisham memintanya menjaga rumah mereka sementara mereka pulang ke kampung untuk beberapa hari.

“Kami memang baik, saya juga tinggal di kawasan sekitar. Isteri Noorhisham ada beritahu guru anaknya memberi cuti seminggu kepadanya untuk pulang ke kampung menenangkan fikiran ekoran musibah yang melanda bapanya.”

Noorhisham bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, pemandu peribadinya Kamaruddin Shansuddin, 44, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Tiada ulasan: