Isnin, 13 September 2010

Kes jenayah meningkat dibimbangi

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) memandang serius peningkatan kes jenayah kejam termasuk pembunuhan yang semakin membimbangkan.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, lebih merisaukan apabila jenayah berkenaan berlaku secara drastik berdasarkan beberapa kes yang dilaporkan kebelakangan ini.

"Kes-kes jenayah kejam dan ganas yang dipaparkan melalui media memberi gambaran bahawa negara kita seolah-olah dibelenggu dengan masalah ini.

"Pembunuhan merupakan jenayah ganas yang paling berbahaya dan terdapat individu yang berani melakukannya tanpa bimbang kepada pembalasan undang-undang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kes jenayah kejam yang semakin berleluasa termasuk kes bunuh.

Sehubungan itu kata Lam Thye, punca berlakunya kes jenayah kejam harus dikaji dengan teliti serta langkah yang sewajarnya perlu diambil bagi menangani keadaan ini.

Menurut beliau, jika masalah ini berterusan, ia akan menjejaskan imej negara.

"Pihak berkuasa perlu memainkan peranan yang penting dalam mengatasi fenomena jenayah tersebut yang semakin menular.

"Hal ini kerana, aspek keselamatan masyarakat perlu diberi tumpuan yang lebih agar rakyat yakin terhadap keadaan keselamatan semasa,'' ujarnya.

Tiada ulasan: