Selasa, 28 September 2010

Guan Eng: Fitnah Umno tidak boleh gugat program rakyat

THE MALAYSIA INSIDER

Lim: Sekiranya kerajaan negeri tak makan duit maka rakyat boleh dapat duit.
KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada usaha terbaru Umno yang cuba mahu mengganggu-gugat program penghargaan warga emas dan menjaga kebajikan rakyat menerusi fitnah berterusan, kata Ketua Menterinya Lim Guan Eng.

Lim menegaskan Umno sekali lagi meneruskan tohmahan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mendakwa program penghargaan warga emas dibiayai oleh sumber judi haram dan bila ini dibuktikan palsu, mereka mengalih kepada program Rakan Anti Miskin (RAM) untuk membasmi miskin tegar.

“Taktik jahat seribu jahat bertujuan menggagalkan program ini daripada kerajaan berjiwa rakyat PR yang bermanfaat rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada usaha Umno mengganggu-gugat program penghargaan warga emas yang membayarkan RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun.

“Sehingga sekarang hampir 110,000 warga emas di Pulua Pinang telah mendaftarkan diri dan akan mendapat bayaran RM100 setiap tahun demi mengenang budi atas sumbangan warga emas,” kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sabtu lalu, Lim menafikan dakwaan Pemuda Umno bahawa dana dari kelab lumba kuda digunakan sebagai sumber wang ihsan RM100 bagi warga emas negeri itu.

Sehubungan itu tegas beliau, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sehari sebelum itu sebagai “satu pembohongan.”

Menurut Reezal, pihaknya mempunyai sepucuk surat, didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Kira-kira seminggu itu beliau mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.

Sehubungan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menurut Lim lagi, si waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM 1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia.

Sebanyak RM20 juta telah pun diperuntukkan untuk program ini dalam Belanjawan 2010.

“Wang yang dibayar oleh kerajaan negeri untuk program ini tidak datang daripada mana-mana derma atau sumber kerajaan persekutuan.

“Ia adalah penjimatan hasil urus tadbir CAT dan telus serta langkah antirasuah yang bukan sahaja dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga disanjungi oleh badan antarabangsa antirasuah terunggul, Transparency International,” katanya lagi.

Urus tadbir CAT dan langkah antirasuah telah membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan yang paling besar dalam sejarah sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta tahun lalu.

“Oleh itu, tidak wujud langsung program ini dibiayai oleh sumber luar.

“Keseluruhan kos program ini dibiayai sepenuhnya oleh hasil lebihan belanjawan,” kata Lim sambil menambah, dengan kata lain program penghargaan warga emas adalah dividen antirasuah yang dapat dinikmati oleh rakyat kerana mempunyai sebuah kerajaan negeri yang bersih dan tidak makan duit.

“Ini bukan kali pertama program ini diserang kerana sebelum ini BN pernah mendakwa bahawa pemberian RM100 kepada warga emas adalah serupa bagi rasuah.

“Untuk BN, bagi wang sama rakyat adalah rasuah tetapi lain pula bagi wang ke dalam kocek sendiri.

“Sekiranya kerajaan negeri tak makan duit maka rakyat boleh dapat duit,” katanya lagi.

Lim menambah, Umno jangan harap boleh mengganggu-gugat program dividen antirasuah RM100 setiap tahun kepada warga emas dengan fitnah dan tohmahan.

“Program Rakan Anti Miskin membasmi miskin tegar di Pulau Pinang tetap diteruskan,” katanya lagi.

Selepas gagal membuktikan program penghargaan warga emas terbabit dengan hasil judi haram, dakwa Lim, Umno pula cuba mengalikhan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program RAM membasmi miskin tegar datangnya daripada sumber judi haram.

“Bukti Umno adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

“Program RAM adalah inisiatif murni kerajaan negeri PR untuk membasmi miskin tegar di kalangan keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM400 sebulan di Pulau Pinang dan memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

‘Menerusi RAM, kerajaan negeri Pakatan telah berjaya membasmi miskin tegar dalam tempoh masa setahun sahaja, apa yang tidak dapat dilakukan oleh BN dalam 51 tahun,” kata beliau lagi.

Menyedari tentang sensitiviti wang derma daripada Kelab Lumba Kuda untuk orang Islam, Lim juga menjelaskan bahawa ia diasingkan dan tidak diberikan kepada orang Islam tetapi hanya kepada orang bukan Islam.

“Malah Pegawai Kewangan Negeri Dato Farizan Darus telah mengesahkan kepada saya semalam bahawa wang derma RM2 juta ini daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

“Perlu diingati bahawa ada juga orang bukan Islam yang miskin tegar, bukan semua bukan Islam kaya macam pemimpin BN,” katanya.

Oleh itu soal Lim, adakah salah untuk menyalurkan wang derma ini kepada orang bukan Islam?

“Bukankah lebih salah dan haram untuk Umno luluskan lesen judi bola?

“Atau adakah Umno dendam sama Kerajaan negeri Pulau Pinang yang merupakan negeri pertama mengharamkan judi bola dan sekali gus merosakkan rancangan baik Umno untuk membenarkan lesen judi bola di Malaysia?

“Yang jahat pula tuduh orang lain,” kata beliau lagi.

Lim menambah, memang BN dan Umno iri hati atas kejayaan kerajaan negeri membasmi miskin tegar dan program penghargaan warga emas.

“Walaupun terus difitnah, kerajaan negeri tidak akan berganjak atau tunduk langsung ke atas anasir jahat ini yang mahukan dua program ini dihentikan,” kata beliau lagi.

14 ulasan:

Hamdan Hadillah berkata...

Kita tidak pasti adakah mungkin benar kata-kata yang dilemparkan kepada Guan eng, dan itu sebab beliau menafikannya. oleh itu, Guan Eng haruslah memberikan penjelasan yang sbenarnya kepada rakyat.

Anak Sabah berkata...

Walaubagaimanapun, selamat berjuang.

gambir berkata...

Sumbangan yang diberikan kepada warga emas menerusi program penghargaan warga emas dan menjaga kebajikan rakyat adalah wajar dilakukan walaupun duit tersebut datangnya daripada hasil judi. Asalkan penerima tidak menyalah gunakan wang tersebut dan menggunakannya untuk kepentingan mereka seperti membayar kos perubatan dan lain2.

gambir berkata...

Sila perbetulkan. Mana2 pemimpin wajar memberikan yang terbaik untuk rakyat. Membasmi kemiskinan wajar dilakukan, dengan adanya kerjasama dari pelbagai pihak program ini mampu mengurangkan kemiskinan di negara ini.

Tanpa Nama berkata...

PETALING JAYA: Ketua Menteri, Lim Guan Eng akhirnya mengesahkan bahawa kerajaan negeri menggunakan dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.
Kenyataan terbaru itu dilihat bertentangan dengan penjelasannya sebelum ini yang menafikan bahawa kerajaan negeri menggunakan wang judi bagi pemberian wang ihsan kepada rakyat.-Mstar

kejap kata ya, kejap kata tidak.. inikah ciri2 pemimpin pilihan P.P?

mantra berkata...

wang sumbangan yang diberikan kerajaan pulau pinang kepada warga emas adalah dikatakan hasil daripada wang judi, Guan Eng seharusnya memberikan penjelasan hal ini.

madd berkata...

dalam apa pekara pun. sebaiknya ia perlu dilakukan dengan telus dan amanah.

Tanpa Nama berkata...

sebaiknya pulau pinang memberikan sumbangan dgn menggunakan wang dari sumber bukan judi.

samm berkata...

susah untuk dipastikan. apa pun, pemberian atau sumbangan kepada rakyat perlulah dari sumber yang baik.

amy berkata...

Kalau apa2 program UMNO tidak sempurna, PKR mangsa tuduhan. Kalau apa2 program PKR tidak sempurna, UMNO jadi tuduhan. Susahnya.

Paquin berkata...

Siapa betul, siapa salah.. no komen!!! Yang pasti kebenaran pasti akan terdedah suatu masa nanti :)

Paquin berkata...

Apapun, setiap tindakan harus dibuat dengan ikhlas supaya tak menimbulkan kontoversi kelak :)

kb girl berkata...

Jangan sesiapa membuat fitnah terhadap pihak lain.
Kebenaran tetap diketahui.

Unknown berkata...

Fitnah itu dosa besar, jangan buat dosa.