Khamis, 23 September 2010

Akhbar PKR dihenti terbitan sementara ekoran masalah edaran



Suara Keadilan masih gagal memperbaharui permit KDN mereka. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menangguhkan penerbitan akhbar tidak berkala yang menggantikan Suara Keadilan buat sementara waktu bagi membolehkannya menyusun semula urusan pengedaran yang turun mendadak selepas Kementerian Dalam Negeri menggantung permit akhbar berkenaan.

Editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib mengesahkan bahawa pihaknya telah menghentikan penerbitan akhbar berkenaan sejak sebulan lalu, antara lain ekoran ejen berkaitan dengan urusan edaran.

“Ini sebabnya kami terpaksa melihat semula apa yang kami boleh lakukan berhubung soal rangkaian pengedaran.

“Memandangkan kami tiada permit, kebanyakan ejen kami takut untuk mengambil akhbar (tidak berkala) kami ini untuk tujuan edaran,” kata beliau ketika dihubungi.

Dzulkarnain menambah, pihaknya berhadapan dengan beberapa insiden pegawai-pegawai penguat kuasa kementerian membuat serbuan ke atas premis ejen-ejen dan merampas akhbar tidak berkala yang menggantikan Suara Keadilan.

PKR terus menerbitkan Suara Keadilan tidak berkala di sebalik amaran Kementerian Dalam Negeri.

Undang-undang membolehkan akhbar bukan berkala dikeluarkan untuk tujuan edaran.

Edisi terakhir akhbar tidak berkala itu keluar dengan nama “Metro Keadilan”.

Dzulkarnain berkata, tindakan kementerian mahu menakut-nakutkan telah menjejaskan keyakinan ejen akhbar PKR, sekali gus menyebabkan edaran merosot teruk.

“Selepas masalah permit, kami menurunkan pengeluaran setakat 50,000 hingga 60,000 naskhah.

“Kami tidak menghantar naskhah ke Sabah dan Sarawak kerana bimbang ia akan dirampas di lapangan terbang. Jika ini berlaku, maka terjejaslah pelaburan kami,” katanya lagi.

Sebelum masalah permit, Suara Keadilan menjual antara 80,000 hingga 90,000 naskhah setiap minggu

Tiada ulasan: