Khamis, 14 Januari 2010

Uthayakumar bertekak dengan hakim kes hasutan

BERNAMA


Perbicaraan kes hasutan membabitkan P Uthayakumar hampir tergendala semalam apabila peguamnya memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen, Sabariah Othman, bahawa mereka akan membuat permohonan kedua untuk hakim itu menarik diri daripada perbicaraan itu.

Bagaimanapun, Uthayakumar membatalkan niatnya dan membenarkan peguamnya untuk membuat pemeriksaan balas saksi pertama pendakwaan, bekas timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani, selepas hakim mengingatkan peguam itu bahawa permohonan pertama bagi penarikan diri hakim itu masih belum selesai di Mahkamah Rayuan.

Pertikaian hujah antara Uthayakumar, seorang peguam, dan Sabariah timbul ekoran dakwaan peguam itu bahawa hakim telah bertindak atas arahan untuk mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara ke atas beliau.

Uthayakumar melancarkan serangan kata-kata terhadap Sabariah selepas beliau memberitahu peguam itu bahawa adalah tidak perlu mencatatkan setiap bantahannya dan beliau berpuas hati dengan jawapan Acryl bahawa beliau tidak dapat mengingati wartawan yang menghubunginya mengenai gambar yang disiarkan di laman web "Police Watch Malaysia" pada 25 Nov, 2007.

Gambar-gambar itu memaparkan perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan kumpulan aktivis Hindu, Hindraf, di bandar raya.

Uthayakumar berulang kali memberitahu hakim bahawa beliau akan menulis surat kepada ketua hakim negara jika hakim terus menolak permohonan untuk mencatatkan semua bantahannya.

Sabariah, yang jelas kecewa, dengan tegas membantah dakwaan Uthayakumar bahawa beliau diarahkan untuk mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara terhadap peguam itu dan memintanya memohon maaf.

"Saya tidak berpuas hati dengan anda dan saya mahu anda menarik balik kata-kata anda," kata Sabariah.

Peguam utama Uthayakumar, N Surendran menghadapi kesukaran untuk meredakan ketegangan itu dan menjelaskan bahawa tuduhan itu bukan ditujukan kepada hakim.

Sabariah memutuskan untuk meneruskan perbicaraan dan mengingatkan Uthayakumar agar tidak terlalu mengikut emosinya dan membuat tuduhan liar.

"Berhati-hati dengan apa yang anda ucapkan pada masa depan," tegas Sabariah.

Pada 11 Dis 2007, Uthayakumar, 47, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan menerbitkan sepucuk surat berbaur hasutan pada laman web "Police Watch Malaysia".

Dakwaan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Dua hari kemudian, Uthayakumar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berikutan pembabitannya dalam demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur pada 25 Nov dan dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Terdahulu, semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Noorin Badaruddin, DCP Acryl memberitahu mahkamah bahawa beliau mengarahkan timbalan ketua polis daerah Dang Wangi untuk menyiasat gambar yang disiarkan di laman web itu.

Pemeriksaan balas oleh peguam Surendran, Acryl bersetuju bahawa Hindraf dan para pemimpinnya begitu lantang mengkritik kerajaan dan polis.

Ditanya sama ada tindakan terhadap Uthayakumar bertujuan untuk menghalang beliau daripada membangkitkan isu-isu berhubung kaum India, Acryl tidak bersetuju dan menambah kata bahawa siasatan adalah menjurus kepada kesahihan gambar-gambar berkenaan.

Menjawab soalan lain mengenai anggaran polis terhadap bilangan orang yang menyertai perhimpunan haram itu, Acryl berkata beliau tidak dapat mengesahkan angkanya kerana terdapat percanggahan bilangan iaitu 5,000, yang lain 10,000 dan malahan 50,000.

Perbicaraan di hadapan Sabariah bersambung hari ini.

Tiada ulasan: