Jumaat, 15 Januari 2010

Skim Pelaburan Palsu Masih Berleluasa

Oleh: mailmathew


KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, menasihati orang ramai khususnya bagi mereka yang tinggal di pelusuk perkampungan agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah orang yang tidak dikenali, kononnya untuk membantu mereka dengan menawarkan insentif pelaburan mudah.

Kata beliau lagi, kumpulan ini yang menggelarkan diri mereka sebagai Pegawai Persatuan Usaha Rakyat Prihatin Sabah dipercayai telah bergerak di kawasan pelusuk perkampungan kerana di kawasan pekan atau bandar kelibat mereka telah pun dijejaki pihak berkuasa sebelum ini.

Modus operandi mereka tambah Jamawi, memperdayakan seberapa ramai indidvidu menyertai skim pelaburan yang memaparkan pelbagai insentif lumayan tetapi sebaliknya semuanya palsu.

“Saya telah menerima banyak maklumat menerusi khidmat pesanan ringkas (sms) dalam dua, tiga hari ini berhubung perkara tersebut tetapi setakat ini kita tidak pasti ketulenan urusniaga mereka dan sebab itu kita harus jangan layan mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini ketika memberitahu Sabahkini.net.

Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO dan Pegawai Khas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah optimis kegiatan itu berunsurkan penipuan kerana selama ini skim tersebut tidak pernah diwar-warkan di media elektronik mahupun media cetak.

“Sebelum kita bertindak sesuatu (menerima tawaran) kita kena periksa terlebih dahulu di pihak berwajib seperti Unit Pelaburan Biro Simpanan Nasional,” kata beliau.

“Kita khuatir insiden penipuan pernah berlaku tahun 2007 melalui Anggun Bestari yang menawarkan pelbagai insentif yang menarik malangnya Anggun Bestari sudah lenyap, wang para pelabur pun hilang. Jadi kita tidak mahu pengalaman lalu berulang ibarat pisang berbuah dua kali,” tegas Jamawi.

Dalam pada itu, Jamawi agak kecewa apabila beliau menghubungi Ketua Operasi Wilayah Sabah (menerusi nombor telefon bimbit yang diberikan kepadanya daripada pelapor beliau) di mana Pegawai itu terus berang dan enggan melayani pertanyaannya.

“Saya tidak faham kenapa dia berang kalau ada pertanyaan secara baik dan ikhlas mengenai peranan skim itu,” jelas Jamawi lagi.

Sementara itu, menurut maklumat daripada salah seorang yang bakal menyertai skim tersebut menjelaskan bahawa mereka mengenakan yuran kemasukan ahli sebanyak RM110.00 setiap seorang.

Manakala faedah yang bakal diperolehi oleh setiap ahli yang sah (setelah yuran dijelaskan) akan layak diberi pinjaman diantara RM5,000 hingga RM50,000. -Sabahkini

Tiada ulasan: