PETALING JAYA: Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya mendakwa tidak menerima panggilan atau notis supaya hadir ke ibu pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shah Alam pada pukul 9 pagi tadi.
Notis daripada JAIS itu bagi membolehkan pihak berkuasa agama itu menjalankan siasatan berhubung dakwaan pengesahan perkahwinan Sosilawati dengan pasangannya.
Menurut peguam Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Sosilawati, anak guamnya langsung tidak mendapat arahan sedemikian sama ada menerusi notis mahupun panggilan telefon.
"Arahan itu langsung tidak dibuat dengan apa cara sekali pun. Tangkapan yang dibuat itu tidak menentu. Apakah kesalahannya? Dia hanya disyaki. Apa kesalahan tidak disebutkan? Yang hanya diberi ialah notis arahan untuk kehadiran anak guam yang tidak dinyatakan secara jelas.
"Di ruangan aku janji hanya dicatatkan 1 Januari 2010, 2.30 pagi di kondominium Astana Damansara untuk menghadiri sesi kaunseling sahaja," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media bahawa JAIS memintanya hadir ke ibu pejabat jabatan agama itu hari ini bagi membantu siasatan kes khalwatnya itu.
Pada sidang akhbar itu, Sosilawati turut menunjukkan surat keterangan akuan nikah dan sijil nikah yang dikeluarkan pejabat agama Songkhla, Thailand bertarikh 25 November 2009.
Mohd Zaidi berkata pihaknya sedang dalam proses mendaftarkan perkahwinan anak guam dan suaminya kerana perundangan membenarkan perkahwinan didaftarkan dalam tempoh enam bulan.
"Saya juga akan menghubungi pihak JAIS untuk mendapatkan kepastian dan bersedia meleraikan kekusutan yang wujud. Segala-galanya perlu dibuat secara berhemah," katanya.
Menurut beliau, anak guamnya sedia untuk bekerjasama dengan JAIS sekiranya dipanggil.
"Masalahnya kenyataan pegawai JAIS itu seperti dilaporkan dibuat tanpa arahan kepada anak guam saya untuk hadir. Ini menyebabkan suatu ketidakadilan kepada anak guam saya.
"Datuk Sosilawati dipandang serong kerana lari daripada JAIS. Di bawah bukti-bukti kesalahan pun tidak dinyatakan secara khusus. Selain itu, anak guam tidak pernah dikeluarkan kertas tuduhan," jelasnya.
Mohd Zaidi mendakwa, penangkapan anak guam dan suaminya juga dibuat secara terancang tapi dilaksanakan secara gelojoh.
Jelasnya, mereka ditangkap selepas baru memasuki rumah sementara suami Sosilawati tidak dipanggil ke JAIS.
"Kenapa suaminya tidak dipanggil? Di sini nampak suatu kegelojohan di pihak yang menangkapnya," katanya.
Lebih teruk lagi, tambah Sosilawati, pihak JAIS menelefonnya sehari selepas tangkapan bagi mendapatkan nama `suaminya'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan