MALAYSIA KINI
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) membuat laporan polis terhadap portal berita Malaysiakini berkaitan komen seorang pembacanya.
Laporan tersebut, yang dibuat oleh Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali semalam, mendakwa komen tersebut boleh mencetuskan kemarahan masyarakat Islam.
Menurut komen tersebut, - oleh pembaca yang menggunakan nama samaran Ablastine - penggunaan kalimah 'Allah' itu akan diharamkan tidak lama lagi dan diletakkan di bawah kategori yang sama dengan beberapa perkataan yang tidak senonoh.
Komen itu dibuat sebagai reaksi kepada berita bahasa Inggeris bertajuk 'Group plans protest' berhubung isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam pada jam 1.43 pagi Selasa 5 Januari.
Syed Hassan - yang ditemani beberapa pemimpin Perkasa ketika membuat laporan itu di balai polis Dang Wangi - menuntut supaya Malaysiakini disiasat di bawah Akta Hasutan.
"Tindakan pengendali portal berita terbabit menyiarkan komen pembaca berkenaan umpama mencurah minyak ke dalam api dan tidak bertanggungjawab."
"Malaysiakini tidak wajar menyiarkan komen seperti ini demi mengelakkan suasana yang sudah tegang menjadi tidak terkawal," katanya selepas membuat laporan tersebut.
Lebih 36,000 komen dalam 6 bulan
Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan berkata Malaysiakini telah membuang komen tersebut dari lamanwebnya.
"Kita menggesa pembaca kita supaya berhati-hati dalam penggunaan bahasa mereka ketika membuat komen," katanya.
Katanya, lebih 36,000 komen dibuat oleh pembaca Malaysiakini sejak lamanweb itu memperkenalkan ciri baru itu enam bulan lalu.
Hanya pelanggan Malaysiakini dibenarkan membuat komen di lamanweb itu.
Walaupun komen tersebut tidak disunting, tetapi Malaysiakini akan membuang komen yang dianggap ofensif dan pelanggan tersebut tidak boleh lagi membuat komen di lamanweb tersebut.
"Kita menyediakan ruang tersebut untuk membolehkan pelanggan kita berkongsi pandangan mereka mengenai isu-isu panas," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan