Jumaat, 8 Januari 2010

PAS: Serang gereja bercanggah dengan Islam

MALAYSIA KINI


Serangan terhadap tiga gereja, satu daripadanya menyebabkan kebakaran teruk, hari ini bercanggah dengan Islam, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Tindakan yang bercanggah dengan Islam ini, hanyalah dilakukan oleh orang yang tidak faham terhadap agama mereka sendiri," katanya, mengulas insiden mengejutkan itu.

"Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu."

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengecam serangan tersebut - sejak awal pagi ini di Desa Melawati, Kuala Lumpur yang mengakibatkan kerugian lebih RM1 juta.

Tiada kehilangan nyawa atau kecederaan direkodkan dalam ketiga-tiga insiden.

Dua lagi insiden di Petaling Jaya antara 4 hingga 9 pagi ini bagaimanapun terlalu kecil apabila bom petrol itu terjatuh di halaman kawasan gereja dan tidak merosakkan sebarang harta.

"Serangan keji sedemikian merupakan satu tindakan yang dikecam keras al-Quran.

"Agama Islam jelas menggesa umatnya untuk menghormati rumah peribadatan penganut agama lain," kata mantan timbalan perdana menteri itu.

"Saya menyatakan rasa syukur kerana serangan tersebut tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa."

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula berkata: "Apapun perasaan mana-mana pihak mengenai isu penggunaan kalimah 'Allah' oleh pihak majalah Herald, perbuatan memusnahkan tempat ibadat seperti yang berlaku semalam langsung tidak boleh dipertahankan."

"Jika ada orang Islam yang bertanggungjawab terhadap insiden ini, mereka sepatutnya malu dan insaf dengan perbuatan mereka kerana Islam sendiri jelas menuntut umatnya menghormati kebebasan beragama orang bukan Islam," tambahnya, antara pemimpin politik terawal yang mengutuk perbuatan keji ini.

Khairy juga berharap semua pihak berhati-hati dalam kenyataan dan perbuatan selepas ini serta menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Tiada ulasan: