Sabtu, 2 Januari 2010

JPJ tumpu 7 kesalahan jalan raya

Oleh Hardi Effendi Yaacob


KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberi tumpuan kepada tujuh jenis kesalahan dalam usahanya mengurangkan kemalangan yang meragut nyawa, kata Pengarah Penguatkuasanya, Salim Parlan.

Beliau berkata, kesalahan itu ialah memandu lebih daripada had laju dibenarkan, melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan, memotong garisan berkembar serta mengekori rapat kenderaan hadapan.

“Ketujuh-tujuh kesalahan berkenaan disifatkan sebagai serius dan kami tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang melakukannya.

“Pemantauan mendapati masih tiada kesedaran di kalangan orang ramai terhadap implikasi buruk semua perbuatan (kesalahan) itu yang bukan saja boleh meragut nyawa mereka, bahkan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau meninjau operasi bersepadu jabatan itu di Plaza Tol Jalan Duta, di sini bermula jam 10 malam kelmarin dan berakhir jam 1 pagi semalam.

Ia sebahagian dari 25 lokasi operasi berkenaan di seluruh negara sempena sambutan tahun baru.

Sepanjang tiga jam operasi, lebih 9,676 kenderaan diperiksa, dengan 956 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan.

Malah, 80 kenderaan pelbagai jenis termasuk motosikal disita, kebanyakannya atas kesalahan tiada cukai jalan dan lesen memandu sah, selain melakukan pengubahsuaian haram.

Salim berkata, tiada tolak ansur terhadap mereka yang melakukan tujuh kesalahan itu, malah kompaun maksimum RM300 akan dikenakan serta-merta.

“Tidak semestinya kompaun dikeluarkan dalam sekatan jalan raya, malah di mana-mana saja seseorang pesalah boleh ditahan.

“Dalam menjalankan penguatkuasaan itu, JPJ turut menempatkan pegawai dan anggota yang melakukan penyamaran di lokasi tertentu, terutama di persimpangan lampu isyarat,” katanya.

Tiada ulasan: