Selasa, 8 Disember 2009

Semua aspek tambang haji diteliti

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) akan melaksanakan kajian kenaikan kadar menyeluruh tambang haji tahun hadapan merangkumi setiap aspek yang terlibat.

Pengurus Besar Hal Ehwal Awam Komunikasi Korporat Kumpulan TH, Abdul Rashid Hussein berkata, kajian akan melibatkan pelbagai sudut bagi menitikberatkan kepentingan para jemaah, pendeposit dan juga pihak TH sendiri.

''Kajian akan dilaksanakan secara mendalam dan juga melihat kesan kepada para jemaah akibat kenaikan tambang itu nanti.

''Walau apa pun, kami akan mengumumkan perkara tersebut kepada semua apabila kajian mengenainya selesai,'' katanya pada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom meminta TH membuat kajian mendalam terhadap kemungkinan kenaikan kadar tambang haji pada musim hadapan ekoran peningkatan kos penginapan di Tanah Suci Mekah.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Ismee Ismail pernah menjelaskan mengenai permintaan hartanah di Mekah dan Madinah yang tinggi dan juga kenaikan harga sewa yang meningkat sehingga 100 peratus.

Mengulas lanjut, Rashid berkata, kajian itu perlu dilakukan kerana kenaikan kadar penginapan dan tempat tinggal para jemaah di sana sehingga 300 peratus daripada kadar asal.

Tambahannya, ia juga termasuklah kos bagi proses pembesaran Masjidil Haram dan kemudahan lain yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi kepada para jemaah haji.

''Faktor-faktor tersebut menyebabkan TH perlu mengkaji semula kadar tambang bagi menampung kos yang kian meningkat,'' katanya.

Tiada ulasan: