SELANGOR KINI
SHAH ALAM - Lebih 2,370 pengusaha kilang haram di Selangor yang berhasrat untuk memutihkan operasi masing-masing kini mempunyai lebih masa berbuat demikian selepas kerajaan Selangor melanjutkan tarikh tutup permohonan kelulusan operasi mereka sehingga akhir Jun 2010.
Pada masa sama, mereka ditawarkan insentif lebih menarik untuk menjelaskan bayaran premium tanah secara sekali gus.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, berkata keputusan melanjutkan Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (PPKTK) dibuat kerajaan Selangor bagi memberi peluang kepada pengusaha kilang terbabit memajukan permohonan, selain menarik lebih ramai pemilik tanah dan pengusaha kilang menyertai program dimulakan sejak Julai 2007.
Ean berkata, pemohon masih boleh menikmati insentif diskaun 50 peratus bagi pembayaran premium tanah secara sekali gus dengan syarat mereka dapat membuktikan sudah membuat permohonan pinjaman kewangan kepada institusi kewangan, walaupun pinjaman itu diluluskan selepas tempoh tiga bulan.
Mengikut syarat diguna pakai terdahulu, pemberian diskaun 50 peratus ditawarkan bagi bayaran premium tanah yang dibuat dalam tempoh tiga bulan atau tawaran 30 peratus untuk bayaran yang dilunaskan dalam tempoh enam bulan, manakala tawaran 10 peratus diberikan bagi pembayaran premium tanah yang dibuat dalam tempoh sembilan bulan.
“Syarat baru itu memberi lebih banyak peluang kepada pemohon untuk menikmati diskaun tinggi berbanding sebelum ini yang mensyaratkan pemohon membayar premium itu, sekali gus dalam tempoh sama,” katanya pada sidang media di sini, kelmarin.
Sejak PPKTK dimulakan hingga September lalu, sebanyak 308 pekilang berkelayakan daripada 843 permohonan yang dimajukan kepada kerajaan Selangor, menerima kelulusan.
Ean berkata, daripada 2,370 pekilang yang beroperasi tanpa kebenaran di Selangor ketika ini, daerah Petaling mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 985 kilang, diikuti Klang (556) dan Hulu Langat (467).
“Saya ingin menasihatkan kepada semua pemilik kilang tanpa kebenaran ini supaya mengemukakan permohonan sebelum tarikh tamat pada Jun 2010. Jika tidak, berkemungkinan tindakan akan diambil terhadap mereka,” katanya.
Selain dua kelonggaran itu, kerajaan Negeri Selangor turut mengenakan syarat teknikal minimum baru bagi bangunan kilang yang memohon kelulusan program itu.
Antara syarat baru itu termasuk anjakan bangunan minimum dinaikkan dari lima kaki kepada 13 kaki di bahagian tepi dan belakang bangunan manakala 20 kaki di bahagian hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan