Jumaat, 18 Disember 2009

Meluat punca 3.7 juta tidak daftar sebagai pengundi

OLEH RAMLI ABDUL HALIM


KECENDERUNGAN pengamal politik di negara ini yang lebih kemaruk mewujudkan suasana yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum dan anutan agama, pada saya menjadi antara faktor kenapa 3.7 juta masih tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun mereka mencapai usia layak mengundi.

Saya yakin mereka yang tidak mendaftar itu terdiri dari kalangan mereka yang terpelajar dan mengambil sikap untuk tidak mengambil peduli tentang parti politik dan pilihan raya dengan penuh keilmuan.

Mereka tidak mudah dipengaruhi dengan sogokan propaganda oleh mana-mana parti politik sama ada di pihak pembangkang atau kerajaan yang lebih menampakkan kecenderungan mengutamakan parti politik daripada kepentingan perkhidmatan dan berbakti kepada rakyat dan negara.

Sikap pengamal politik yang sentiasa menunjukkan sikap suka bermusuhan demi kepentingan parti politik yang didukung dan disokong, termasuk diadakan perhimpunan dan demonstrasi tanpa mengambil kira kesannya kepada rakyat terbanyak menjadikan timbul rasa meluat dan tidak memberi faedah jika mereka ikut terlibat dalam pilihan raya.

Sepatutnya pengamal politik yang pastinya tujuan mereka berpolitik adalah untuk menjadi pemimpin kena lebih cerdik daripada orang yang dipimpin yakni rakyat, bukan mempamerkan sikap dan gelagat sebaliknya.

Pada akhir-akhir ini khususnya pengamal politik mempamerkan sikap kurang cerdik daripada kalangan yang mahu dipimpin, masing-masing lebih mengutamakan kepada sikap saling tuduh menuduh, saling melanyak lawan dan menjulang parti dan pemimpin sendiri yang tidak memberi faedah kepada rakyat dan negara.

Antara parti pembangkang dan parti kerajaan masing-masing lebih memberi tumpuan kepada kecenderungan berbalah untuk kepentingan parti dan menyelamatkan kedudukan pemimpin masing-masing, bukannya berbahas dan berhujah untuk kepentingan rakyat dan negara.

Hal ini turut ketara di Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri yang sepatutnya dibincangkan hal-hal kepentingan rakyat peringkat negara dan negeri-negeri.

Walhal tujuan amalan demokrasi adalah supaya pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama memberi sumbangan untuk kepentingan rakyat dan negara, bukannya untuk asyik mengukuh dan menguatkan kedudukan tokoh-tokoh tertentu dalam parti-parti politik tertentu.

Ini adalah kerana sama ada wakil rakyat kerajaan atau pembangkang sama-sama diberi mandat oleh rakyat yang kena bercakap untuk kepentingan rakyat, bukannya hal-hal berkaitan politik menjadi keutamaan pada setiap saat dan sepanjang masa.

Saya rasa hakikat yang tidak boleh ditolak, golongan yang tidak mendaftar sebagai pemilih itu sebenar enggan membiarkan mereka menjadi tunggangan pengamal politik. Mereka kurang yakin dengan peranan yang mampu dimainkan oleh wakil-wakil rakyat yang dipilih bertanding oleh parti masing-masing.

Jika pengamal politik terus kekal dengan keadaan sekarang, akhirnya majoriti rakyat terutama kalangan cerdik pandai akan hilang keyakinan terhadap sistem dan amalan demokrasi berparlimen kerana tokoh kepimpinan lebih menonjol sebagai pemimpin parti politik, bukannya sebagai pemimpin kerajaan atau pemimpin pembangkang.

Sesungguhnya pemimpin kerajaan dengan pemimpin parti yang membentuk kerajaan dan pemimpin parti pembangkang dengan pemimpin pembangkang adalah dua perkara yang berbeza. Pemimpin parti politik dipilih oleh ahli parti dan ia memang patut bekerja untuk partinya.

Sedangkan pemimpin kerajaan diberi mandat oleh rakyat untuk memberi khidmat kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik. Demikian juga dengan pemimpin pembangkang yang diberi mandat oleh rakyat sebagai pembangkang, mereka kena bercakap dan berkhidmat untuk kepentingan rakyat tanpa mengira rakyat menyokong parti mana pun.U/M

Tiada ulasan: