DUNGUN – Walaupun kejadian banjir yang melanda kawasan perumahan Taman Rakyat dekat sini Jumaat lalu tidak sehebat kejadian bencana berlaku di negara jiran, namun ia sedikit sebanyak meninggalkan trauma bagi lebih 300 penduduk.
Selain kerumitan yang dihadapi ketika berpindah ke pusat pemindahan, mangsa terbabit juga harus berdepan risiko kerugian apabila sebahagian peralatan rumah musnah ditenggelami air.
Walaupun pembinaan longkang besar di sepanjang taman berkenaan yang difahamkan perbelanjaannya mencecah jutaan ringgit itu diharap dapat mengatasi masalah terbabit, namun sangkaan itu ternyata meleset apabila kejadian banjir pada tahun ini dikatakan lebih buruk berbanding tahun sebelumnya.
Faktor fenomena alam tidak dinafikan, namun natijah daripada buatan tangan manusia membabitkan soal ketidakcekapan pembangunan tidak terancang dipercayai menjadi punca.
Dayang Zakiah Bustaman, 34, salah seorang mangsa banjir berkata, akibat kejadian banjir tempoh hari, banyak perkakas rumah termasuk barangan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk rosak.
Menurutnya, sebelum ini kawasan perumahan dekat sini memang selalu dinaiki air, namun tidaklah seteruk mana, hanya sedalam kira-kira 0.25 meter sahaja.
“Bagaimanapun pada tahun ini, hujan lebat menyebabkan air naik mendadak sehingga memaksa kami terpaksa berpindah ke pusat pemindahan.
“Saya ingat bila dah buat longkang besar, ia mungkin berkurangan tetapi sebaliknya gagal menyelesaikan masalah,” katanya.
Norhayati Bidin, 34, pula menyifatkan kejadian banjir pada tahun ini adalah antara yang terburuk pernah melanda daerah berkenaan dan berharap supaya pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah itu.
“Taman perumahan di sini terletak di kawasan yang agak rendah, justeru, jika berlaku hujan lebat, ia pasti mudah ditenggelami air.
“Justeru, dalam hal ini, pihak berkenaan sepatutnya berusaha mencari alternatif terbaik mengatasi masalah ini berikutan hampir 500 penduduk di sini akan berhadapan perkara sama setiap kali tibanya musim tengkujuh,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan