Isnin, 7 Disember 2009

Baiki bumbung stadium ambil masa

UTUSAN ONLINE


KUALA TERENGGANU - Kerja-kerja membaik pulih bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, dekat sini, yang runtuh awal Jun lalu mengambil masa kerana terdapat beberapa perkara teknikal yang belum diselesaikan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya yakin kontraktor yang bertanggungjawab akan meneruskan kerja-kerja pembaikan itu seperti diarahkan Kabinet.

Katanya, Kabinet telah memutuskan tanggungjawab membersih dan memulihkan runtuhan diserahkan kepada kontraktor asal yang terbabit dalam pembinaan stadium itu.

''Kita akan pastikan mereka siapkan tetapi kerana ingin menyelesaikan beberapa masalah teknikal... kerja-kerja membersihkan stadium terpaksa mengambil masa agak lama.

''Jika mereka tidak mampu kita akan serahkan kepada kontraktor lain... tetapi yang pasti segala tanggungjawab terletak kepada kontraktor asal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 2 Jun lalu, bumbung bahagian timur stadium yang menempatkan pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP) runtuh.

Kejadian tersebut berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina dan menjadi beberapa venue utama sukan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Kabinet pada 6 November lalu memutuskan supaya kontraktor terlibat membaik pulih stadium itu serta menanggung segala kos pembersihan runtuhan dan pembaikan kerosakan kerana stadium itu masih dalam tempoh jaminan.

Ahmad Shabery berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau dan menentukan tarikh penyelenggaraan dan kerja-kerja pembaikan stadium tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kos pembaikan itu dan sama ada reka bentuk bumbung yang sama akan digunakan kerana ia di bawah bidang kuasa JKR.

Tiada ulasan: