Selasa, 15 Disember 2009

Agihan pendapatan, bonus ASB 8.55 sen



Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri) dan Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan jumlah agihan pendapatan dan bonus ASB di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 6.78 juta pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) bakal mendapat agihan pendapatan sebanyak 7.30 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit bagi tahun kewangan 31 Disember 2009.

Jumlah agihan pendapatan itu meningkat daripada 7.00 sen seunit pada tahun lalu.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, peruntukan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM4.95 bilion, peningkatan sebanyak 19.56 peratus berbanding RM4.14 bilion pada tahun sebelumnya.

Peruntukan bagi pembayaran bonus pula melibatkan sejumlah RM537.65 juta oleh PNB.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman prestasi ASB di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, jumlah agihan pendapatan itu adalah kompetitif meskipun ia mampu membuat agihan sebanyak 11 peratus.

Jelas berkata, pelabur tidak boleh membandingkan secara kolektif jumlah agihan pendapatan dan bonus tahun lalu masing-masing sebanyak 7.00 dan 1.75 sen seunit, sebaliknya perlu melihat prestasi dana ASB sendiri.

Mengulas lanjut, Hamad Kama Piah menjelaskan, dalam situasi semasa adalah tidak adil sekiranya para pelabur mengharapkan jumlah agihan yang tinggi.

"Biarpun ramai yang tidak suka cara saya membuat perbandingan, tetapi hakikatnya pulangan yang kita berikan adalah lebih baik daripada simpanan.

"Saya membuat perbandingan sedemikian kerana seperti yang saya katakan sebelum ini, para pelabur boleh mengeluarkan pelaburan mereka pada bila-bila masa, sama seperti bank.

"PNB memberi agihan 7.30 sen seunit sedangkan kalau kita menyimpan hanya memperoleh 1.7 atau 1.8 peratus sahaja, beza lebih lima peratus," ujarnya.

Ditanya mengapa perlunya PNB menyimpan rizab bagi dana-dananya, Hamad Kama Piah menjelaskan: "Ia adalah pendekatan PNB untuk membolehkan kita menambah pelaburan bagi memperoleh pulangan lebih baik pada masa akan datang".

Ahmad Sarji menambah, sehingga 10 Disember lalu, ASB telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM5.46 bilion, naik 3.4 peratus berbanding RM5.28 bilion pada 2008.

Syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM1.48 bilion atau 27 peratus daripada jumlah pendapatan kasar manakala keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM3.67 bilion.

Pendapatan selebihnya yang berjumlah RM309 juta diperoleh melalui pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pelaburan lain.

Ahmad Sarji berkata, pengiraan pengagihan pendapatan itu adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2009.

Sementara pengiraan bonus pula dibuat berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan yang dimiliki pelabur dalam tempoh 10 tahun bermula 2000 hingga 2009.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang saham dan urusan mengemas kini mulai 4 Januari 2010.

Semua urus niaga bagi ASB di Ibu Pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan ejen-ejen di seluruh negara akan ditangguhkan bermula 21 Disember ini hingga 3 Januari 2010 bagi tujuan pengiraan pengagihan.

Tiada ulasan: