UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Seramai 1,148 usahawan berketurunan India masih menunggu jawapan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) mengenai status permohonan pinjaman mereka melalui Skim Pembangunan Usahawan Muda India (SPUMI).
Pada masa sama, 508 permohonan lagi masih tertangguh di pejabat Yayasan Strategik Sosial (YSS) kerana dana agensi tersebut tidak mencukupi.
Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, selain itu 300 lagi permohonan baru diterima YSS dari seluruh negara untuk mendapatkan pembiayaan daripada agensi tersebut.
"Saya juga mendapat tahu melalui surat khabar (Mingguan Malaysia) bahawa TEKUN kekurangan RM350 juta untuk memberi pinjaman kepada 16 ribu pemohon, saya harap ini diatasi secepat mungkin.
"Selain itu MIC mencadangkan supaya diwujudkan mekanisme pemantauan dan ini dipertimbangkan Perdana Menteri," katanya yang juga Penaung dan Pengasas YSS.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Cek Pinjaman Skim Pembangunan Usahawan Muda India (SPUMI) di sini hari ini.
Pada majlis itu, 109 usahawan India menerima pinjaman perniagaan bernilai RM1.037 juta.
Mereka terdiri daripada 43 usahawan dari Selangor, Johor (24), Pahang (15), Wilayah Persekutuan (13), Melaka (sembilan) dan Negeri Sembilan (lima).
Sementara itu, Samy berkata, 2,026 usahawan India memohon untuk membuat pinjaman di bawah Skim Pembangunan Usahawan Muda India (SPUMI) bernilai RM20 juta.
Menurut beliau, daripada jumlah itu 830 permohonan dengan pinjaman berjumlah RM5.8 juta telah diluluskan.
Katanya, pada masa ini semakin ramai belia India yang menceburi pelbagai jenis perniagaan bagi meningkatkan taraf hidup.
"Kerajaan sangat prihatin kepada masyarakat India. Ini jelas dapat dilihat apabila kerajaan dalam Bajet 2010 memperuntukkan RM20 juta untuk skim itu.
"Kita mahu lahirkan lebih ramai usahawan muda India. Pinjaman perniagaan ini akan membantu masyarakat India tiga peratus menjelang tahun 2015," katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan bahawa pegawai daripada masyarakat India akan dilantik ke lokasi tertentu di seluruh negara bagi membantu usahawan India pinjaman perniagaan TEKUN.
Dalam pada itu, Samy menggesa mereka yang mendapat pinjaman supaya membayar semula hutang secara sistematik.
"Jika peminjam bayar hutang mereka mudah, dapat pinjaman semula selain usahawan lain pula boleh meminjam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan