BERNAMA
JOHOR BAHRU – Gegaran yang diakibatkan oleh gempa kuat berukuran 7.9 pada skala Richter di pulau Sumatera hari ini turut dirasai oleh penduduk bandar raya ini.
Gegaran itu menyebabkan orang ramai mengosongkan pejabat dan kediaman masing-masing kerana bimbangkan keselamatan mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa lokasi bangunan tinggi mendapati orang ramai berkumpul sambil menunggu pengesahan daripada pihak bomba tentang status keselamatan bangunan yang mereka duduki.
Biarpun keadaan terkawal rata-rata mereka pada mulanya berasa takut dan cemas ekoran gegaran tersebut.
Seorang pekerja Hotel Selesa, Noraini Juki, 52, berkata, ketika kejadian dia sedang solat asar di tingkat lapan.
Menurutnya, dia hanya merasai gegaran tersebut ketika rakaat terakhir ketika sujud dan menyifatkan ia adalah yang paling kuat sejak 15 tahun bekerja di hotel berkenaan.
“Saya pernah mengalami tiga gegaran dan kali ini adalah yang paling kuat sampaikan badan kita boleh mengikut alunan gegaran tersebut,” katanya ketika ditemui di pekarangan hotel berkenaan.
Seorang rakannya, Rosnani Bunyani, 42, pula berkata, dia hanya mengetahui tentang gegaran tersebut ketika diarahkan keluar oleh pihak pengurusan hotel.
Menurutnya, selepas diberitahu tentang kejadian itu, semua pekerja hotel termasuk pelanggan bergegas keluar daripada bangunan berkenaan.
“Semasa kejadian, memang saya terasa bergegar sedikit. Namun ingatkan ia hanya perasaan sahaja. Selepas mendapat arahan, saya terus keluar,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Larkin mengesahkan menerima lebih 10 laporan berhubung kawasan yang turut terjejas akibat gempa bumi tersebut.
Antara kawasan yang terjejas di sini kata jurucakap itu, termasuklah Flat Larkin, Wisma Landmark, Kompleks Kastam dan Kuarantin (CIQ), Plaza Pelangi dan Jalan Abdullah Tahir di sini.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Melaka
MELAKA 30 Sept. – Beberapa kawasan di negeri ini terutama di Masjid Tanah, kawasan pantai dan Banda Hilir dekat sini merasai gegaran akibat gempa bumi berskala 7.9 ritcher yang berlaku di Selatan Sumatera, Indonesia kira-kira pukul 6.16 petang ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, R. Izhumalai berkata, pihaknya menerima kira-kira 10 panggilan daripada orang ramai bermula pukul bermula 6.38 petang.
Menurut beliau, dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dengan 14 anggota memeriksa kawasan di Banda Hilir bagi memastikan tiada kerosakan teruk akibat gempa tersebut.
“Hasil pemeriksaan tidak terdapat sebarang kerosakan teruk dan litar pintas yang berlaku cuma kebanyakkan orang ramai mendakwa merasai gegaran tersebut,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu menurut beliau, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan dari dua tempat pelancongan utama di negeri ini iaitu Eye On Malaysia dan Menara Taming Sari.
Sementara itu beberapa penduduk rumah pangsa Jalan Bendahara dekat sini mengakui merasa gegaran sebanyak dua kali dalam masa kurang seminit.
Tan Chon Gek, 60, yang menduduki tingkat sembilan rumah pangsa itu berkata, dia merasai gegaran itu kira-kira selama 40 saat pada pukul 6.30 petang.
“Saya lihat minuman dalam cawan bergegar dan merasa pening. Saya tidak kisah sangat kerana kawasan ini sudah kerap menerima gegaran ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi S. Bindu, 33, pula, dia merasai gegaran sebanyak dua kali.
“Kali pertama tidak sampai 10 saat manakala pada gegaran kedua pula dalam tempoh 30 saat. Memang saya rasa pening sedikit,” katanya.
Mohd. Rasul Abdul Hamid, 45, pula berkata, dia dan keluarganya terpaksa keluar dari rumah pangsa yang dihuninya di tingkat tujuh.
“Saya betul-betul terkejut akibat gegaran ini. Beberapa barang rumah saya juga turut terjatuh di atas lantai,” katanya.
Putrajaya
PUTRAJAYA 30 Sept. – Seorang wanita yang mengandung lima bulan cemas berikutan terperangkap hampir sejam di rumahnya di tingkat teratas pangsapuri 16 tingkat di Presint 14 di sini hari ini.
Norma Ali, 25, yang sedang mengandung anak sulung, terperangkap di antara pintu rumah dan pintu jeriji di bahagian hadapan rumahnya ketika sedang tergesa-gesa hendak keluar rumah berikutan gegaran gempa bumi yang berlaku petang tadi.
Norma berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.20 petang dan beliau terperangkap kerana pintu rumahnya ditiup angin dan kunci rumah pula tertinggal di dalam rumah.
“Nak minta tolong jiran pun, ramai yang dah keluar rumah akibat gegaran itu.
“Saya dapat telefon suami yang sedang bekerja, memberitahu yang saya terperangkap dan suami terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPA),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku di selatan Sumatera, Indonesia pada pukul 6.16 petang menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Seramai empat anggota JPA Putrajaya tiba kira-kira pukul 7.20 malam dan berjaya memotong mangga pada pintu jeriji dan menyelamatkan mangsa.
Suami mangsa, Mohd. Firdaus Abdul Mutalib, 26, pekerja swasta yang baru sahaja tiba dari Petaling Jaya berkata, beliau bergegas dari tempat kerjanya apabila dimaklumkan isteri mengenai kejadian itu.
“Jalan sesak sebab itu saya lewat sampai. Tapi Alhamdulillah, semuanya selamat,” katanya sambil menarik nafas lega.
Seorang pekerja swasta, Abdul Mutalib Mohd. Napawi, 34, memberitahu, mereka dibenarkan naik semula ke rumah pukul 7.45 malam selepas pemeriksaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Beliau yang tinggal di tingkat tujuh memberitahu, gegaran itu merupakan kali kedua dirasainya selepas yang pertama berlaku sehari sebelum berpuasa.
“Keadaan agak cemas juga tadi berikutan gegaran yang dirasai agak kuat,” katanya. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan