MALAYSIA KINI
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengingatkan pihak-pihak yang kini mempersoalkan pelan damai parti itu bahawa beliau dan bekas timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menguassi hampir 100 peratus perwakilan parti itu.
"Sewaktu mesyuarat jawatankuasa pusat MCA pada 15 Oktober lalu, seseorang berkata saya menguasai hampir 50 peratus perwakilan manakala Datuk Seri Chua mendapat sokongan 47 peratus.
"Kenyataan orang itu telah membuat saya sedar bahawa saya dan Dr Chua sepatutnya bergabung tenaga menyatukan parti, kerana secara bersama, kami menguasai hampir 100 peratus perwakilan.
"Jadi, mengapa mesti ada orang yang mahu mempersoalkan pelan damai?" tulis Ong dalam blognya.
Ong jelas merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong bahawa mereka langsung tidak tahu menahu mengenai pelan damai yang dicadangkan oleh Ong itu.
Dalam satu sidang akhbar semalam, Liow dilaporkan berkata: "Ong memaklumkan kepada kita (anggota jawatankuasa pusat) bahawa ia satu pelan perpaduan (sebelum diumumkan), tetapi tidak menjelaskan kandungannya."
Oleh itu, ketiga-tiga mereka dan 11 lagi anggota jawatankuasa pusat (CC) menggesa supaya diadakan satu mesyuarat baru untuk menjelaskan kandungannya.
Mereka yang sebelum ini merupakan setia Ong kini dianggap sebagai kuasa ketiga yang didakwa mahu menyingkirkan Ong dan Chua.
Mengulas lanjut, Ong berkata pelan damai itu adalah untuk menamatkan kemelut dalam parti itu, menyatukan semula MCA sertau untuk memulihkan sokongan rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Pelan tersebut telah dikemukakan kepada perdana menteri dan beliau telah merestuinya," kata Ong lagi.
Oleh itu, katanya, adalah membingungkan mengapa beliau pula perlu mendapat kebenaran jawatankuasa pusat "bila saya mahu memulihkan perpaduan dalam parti."
"Apakah mereka ini berharap untuk melihat parti terus menerus diheret kemelut, supaya mereka dapat mencapai cita-cita untuk kepentingan diri sendiri?
"Adakah mereka faham pentingnya untuk memastikan pelan damai itu berjaya supaya MCA boleh memulihkan parti dan membawa pembaharuan ekoran kekalahan dalam pilihan raya umum lalu?
"Adakah mereka tidak sanggup mengenepikan kepentingan diri mereka demi MCA dan negara?" soalnya lagi.
Ong berkata, beliau juga telah ditanya mengenai janjinya yang dibuat sebelum mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Oktober lalu.
"Saya sudah banyak kali memperjelaskan isu tersebut. Adalah tidak wajar untuk saya mendedahkan perkara-perkara tertentu yang boleh memalukkan beberapa pemimpin parti," katanya.
Ong menegaskan bahawa MCA mempunyai urusan yang belum selesai dan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah satu salah daripadanya.
"Kita telah sampai ke pusingan terakhir dalam usaha kita untuk mencari punca masalah PKFZ. Sekarang adalah masa untuk bergerak ke hadapan, tanpa diganggu oleh soal-soal yang remeh temeh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan