Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR: Majikan didakwa terus menganiaya lima lagi pekerja bawahan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), walaupun salah seorang daripada mereka sudah berhenti kerja kerana tidak tahan dibuli.
Bekas pekerja terbabit, Abdul Rahim Mohd Sultan mendakwa kelima-lima pekerja dari unit hidrografi telah ditukar serta-merta ke beberapa unit lain untuk menutup beberapa penyelewengan majikannya.
"Yang dedah rasuah dan seleweng (adalah) saya, tidak perlu tukar lima pekerja lain kalau nak tutup isu (penyelewengan) diesel dan kapal pengeruk itu," ujarnya.
Dakwannya, tindakan menukar tempat kerja sedemikian jugalah yang menyebabkan dirinya terasa seperti dibuli, sehingga beliau mengambil keputusan berhenti kerja.
Dakwanya lagi, Pengerusi Besar Sumber Manusia Tadzaruddin Abdul Manaf merupakan dalang utama membuli pekerja bawahan yang enggan bersekongkol dengan bekas majikannya.
Abdul Rahim yang juga bekas juruteknik kanan dari Unit Hydrografi mendakwa pengarah urusan PPSB, Datuk Ahmad Ibnihajar turut bersekongkol.
"Saya pernah minta perlindungan profesional dari Datuk Ahmad, waktu dedah isu rasuah pada SPRM, padahal dia tahu Tadzarudin aniaya saya," tegasnya.
Tambahnya lagi, Tadzaruddin juga cuba mengelak beberapa isu berbangkit, seperti isu terma dan perjawatan para pekerja bawahannya.
"(Tahun) 1994 dulu, perjawatan semula saya dibuat tanpa beri terma dan perjawatan, sekarang dia (Tadzaruddin) tak tahu nak selesaikan pencen perberhentian kerja awal saya," jelasnya.
"Dulu dia (Tadzaruddin) salahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, sekarang dia salahkan pula Suruhanjaya Perlabuhan Pulau Pinang."
Beliau juga nekad mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membuka kertas siasatan kes-kes rasuah yang melibatkan majikannya.
Beliau juga sedang mempertimbang membawa kes rasuah, buli pekerja dan salah guna kuasa tersebut ke peringkat Mahkamah Industri. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan