Andrew Ong & Salhan K Ahmad
Lapan bulan selepas digulingkan sebagai menteri besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin masih bergantung harap agar pilihan raya baru diadakan secepat mungkin bagi mengakhiri krisis politik yang melanda negeri itu sekarang.
Katanya, amat penting bagi para pengundi dibenarkan membuat pilihan mereka melalui peti undi kerana krisis yang berlarutan itu telah mencetuskan kemelut ekonomi dan perlembagaan.
Bulan depan, Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan terhadap saman Nizar bagi mendapatkan pengisytiharan sama ada beliau atau Datuk Zambry Abd Kadir menteri besar yang sah.
Nizar tidak pernah meletak jawatan menteri besar sejak pentadbirannya digulingkan Februari lalu.
Sehingga hari ini, Pakatan Rakyat terus 'mentadbir negeri' dan sentiasa mencuba 'menguasai' DUN di bawah 'speaker' V Sivakumar.
Nizar berkata, Zambry sepatutnya menggesa Sultan Perak supaya membubarkan DUN secepat mungkin supaya pilihan raya baru dapat diadakan dan seterusnya menamatkan kemelut politik di negeri itu.
Oleh itu, Nizar meminta jasa baik Zambry - sekiranya beliau mahu menyelamatkan Perak, membantu rakyat Perak dan mengutama kepentingan rakyat - supaya mendapatkan perkenan sultan bagi membubarkan DUN.
Katanya, ini akan meletakkan Zambry pada kedudukan yang mulia seperti yang dilakukannya sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan penting sebelum ini.
Nizar merujuk keputusan mahkamah tersebut yang mengiktiraf beliau sebagai menteri besar Perak yang sah. Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan selepas rayuan dibuat pada hari berikutnya.
Nizar berjanji, sekiranya permohonannya di Mahkamah Persekutuan itu berjaya, maka beliau akan memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN.
"Itulah komitmen saya sekiranya keputusan mahkamah itu nanti memihak kepada saya.
"Kami mahu menunjukkan bahawa kami tidak mahu terus memegang kuasa, tetapi sebaliknya mahu menyerahkannya kepada rakyat untuk membuat keputusan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan