Salhan K Ahmad
Jambatan gantung maut yang mengorbankan tiga nyawa murid sekolah di Kampar dibina "secara tergesa-gesa" untuk program Kem Perkhemahan 1Malaysia, kata seorang pemimpin PAS setempat.
Ahli jawatankuasa PAS Kuala Dipang itu memberitahu Malaysiakini, perkara itu disedarinya apabila melihat kesan runtuhan jambatan tersebut sejurus selepas kejadian pada malam Isnin lalu.
Ahmad Damanhuri Talib, 49, berkata pemerhatiannya menunjukkan bongkah konkrit yang menjadi penyangga kepada jambatan gantung itu telah tercabut pada masa kejadian, menyebabkan jambatan tersebut runtuh.
"Nampak dibuat lebih kurang saja. Kalau rumah yang orang nak duduk pun kena ada penilaian, inikan pula jambatan untuk murid sekolah," katanya, yang mendakwa turut menyertai operasi menyelamat mangsa bersama seorang rakannya.
"Konkrit tapaknya nampak belum mantap dan tanah di bawahnya pun belum kemas lagi sebab itulah penyangganya terbungkas."
"Tapak untuk tiang itupun tidak ada cerucuk, cuma dimasukkan dalam tapak konkrit saja," katanya.
Ahmad Damanhuri juga yakin tindakan kumpulan murid sekolah yang menyeberangi jambatan itu beramai-ramai turut menyumbang kepada faktor tragedi.
"Mereka masa itu tengah rehat, cikgu-cikgu pula tengah ada taklimat di sekolah (SK Kuala Dipang).
"Jadi pelajar-pelajar ini bebas menyeberang jambatan tanpa kawalan," katanya lagi.
Tambahnya, kontraktor yang terlibat membina jambatan tersebut juga mungkin kesuntukan masa untuk menyiapkan projek tersebut dalam masa singkat.
"Ini memang projek yang dibuat khas untuk kem itulah. Mereka kena siapa hari itu juga, sebab itulah hasilnya lebih kurang saja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan