MALAYSIA KINI
Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui bahawa parti pembangkang utama itu sedang berdepan dengan masalah dalaman ekoran peletakan jawatan beberapa pemimpin utamanya.
"Kekecewaan yang diluahkan oleh sebilangan rakan dan ahli parti ada asasnya...," katanya hari ini.
Sejak dua hari lalu, PKR menerima tamparan ekoran peletakan jawatan naib presidennya Datuk Jeffrey Kitingan dan timbalan ketua Wanita Sabah, Christina Liew serta desas-desus mengenai kemungkinan setiausaha agung Datuk Salehuddin Hashim juga akan meletak jawatan.
Salehuddin bagaimanapun menafikan beliau telah meletak jawatan.
Jeffrey dan Liew meletak jawatan kerana kecewa dengan keputusan pimpinan tinggi PKR berkaitan beberapa isu - yang terbaru berhubung pelantikan Ahmad Thamrin Jaini sebagai pengerusi PKR Sabah yang baru.
"Rombakan kepimpinan PKR telah menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan tertentu.
"Saya sepenuhnya menyedari bahawa tidak semua akan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti serta menghargai betapa sukarnya kami untuk membuat keputusan dengan meneliti setiap pandangan yang disampaikan, termasuk daripada cabang-cabang yang menjadi tulang belakang parti, di samping memastikan parti mencapai matlamatnya," kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan.
"Sememangnya kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang mengecewakan selepas pilihan raya umum Mac lalu.
"Perjuangan politik kepartian terbukti berhadapan dengan jalan berliku, dan permuafakatan politik tidaklah menjelma sekelip mata," tambahnya.
Dr Wan Azizah berkata lagi, PKR akan menempuh saat sukar "untuk mencipta kesimbangan kepimpinan yang terbaik dan strategi yang ampuh untuk mengangkat mereka ke tahap perjuangan seterusnya."
"Sepanjang itu, kita telah menempuh pelbagai cabaran serta menemui bakat-bakat baru yang komited dengan perjuangan parti.
"Kita perlu bekerja kuat untuk mencapai apa yang dicita-citakan dan keputusan yang dibuat minggu ini dibuat selepas mendapat mandat dan berdasarkan semangat musyawarah dalam parti," katanya.
Dr Wan Azizah tidak menyebut secara terperinci bentuk masalah tersebut, tetapi kegelisahan dalam parti muncul susulan peranan yang dimainkan oleh pendatang baru Datuk Zaid Ibrahim - bekas menteri Umno yang menyertai PKR empat bulan lalu.
Ia juga dipercayai berkaitan dengan perebutan jawatan timbalan presiden PKR. Naib presiden Azmin Ali dan Zaid masing-masing dilihat berpotensi mengisi jawatan tersebut nanti yang kini disandang oleh Dr Syed Husin Ali.
Dr Wan Azizah memberi jaminan kepada para penyokong parti itu bahawa PKR akan berusaha untuk menyelesaikan masalah dalamannya.
"...saya sedia berbincang dengan semua pihak didasari rasa hormat, persefahaman dan iltizam menegakkan keadilan.
"Masa hadapan negara ini, perjuangan kita serta Pakatan Rakyat tidak bergantung kepada mana-mana individu.
"Saya menyeru agar semua berpegang teguh dan tetap bersabar memastikan kejayaan perjuangan kita demi rakyat Malaysia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan