Sabtu, 31 Oktober 2009

Pinda ISA, bukan hasrat rakyat-GMI

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR : Gerakan Mansuh ISA (GMI) menegaskan keputusan kerajaan untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersandarkan sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tidak mencerminkan sokongan sebenar rakyat Malaysia.

Malah NGO terbabit langsung tidak dilihat mewakili rakyat terbanyak, tetapi mereka adalah penyokong setia dasar kerajaan.

"Kelab Penyokong BN dan BTN (Biro Tata Negara)...mewakili suara rakyat, atau memang pertubuhan yang jelas menyokong dasar-dasar kerajaan dan Umno seperti sokong ISA," kata Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh ketika dihubungi Harakahdaily.

"Hishamuddin jemput beberapa pertubuhan yang sudah menyokong kerajaan bersama Majlis Peguam Negara. Walaupun Majlis Peguam tidak bersetuju, masih tidak memadai untuk kerajaan putuskan seluruh rakyat sokong ISA."

Ujarnya, sekiranya kerajaan jujur mahu mendengar suara rakyat, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sewajarnya turut menjemput GMI untuk memberi pandangan tentang akta tersebut.

Ini kerana pertubuhan tersebut sejak tahun 1987 lagi lantang menentang ISA dan layak memberi pandangan tentang akta tersebut.

"GMI bukan sebuah NGO, tapi sebuah gabungan 87 pertubuhan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), badan berkanun Kerajaan, parti-parti politik, badan wanita dan beberapa pertubuhan pelajar," jelasnya.

"Dalam GMI ada JiM (Jamaah Islah Malaysia), keahliannya 10 ribu orang. Parti PAS, PKR, DAP yang bersama GMI semuanya tentang ISA, jika minimum ahli satu juta, bermakna sudah ada lebih tiga juta. Ini baru mencerminkan suara sebenar rakyat."

Tambahnya lagi, Hishamuddin juga sepatutnya memanggil NGO berlatarbelakangkan perundangan dan hak asasi menusia, seperi Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Beliau juga menasihatkan Hishamuddin agar melihat bersama beberapa penanda aras yang lain, selain pendirian beberapa NGO terbabit.

"Satu lagi aras tanda, lebih 40 hingga 50 ribu rakyat berhimpun aman desak ISA dimansuhkan pada 1 Ogos lalu, sedangkan penyokongnya (pro ISA) boleh dibilang dengan jari, maksudnya jumlahnya cukup kecil."

"Satu lagi aras tanda, keputusan PRU (pilihan raya umum) lepas, kita (GMI) percaya kempen anti ISA adalah salah satu faktor BN hilang majoriti besar di Parlimen dan hilang empat negeri (Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang) lagi."

Ekoran keputusan Hishamuddin itu juga, Said Ibrahim bercadang mengadakan suatu dialog tergempar di Parlimen demi melobi para Ahli Parlimen menolak draf pindaan ISA kelak.

Semalam, Bernama melaporkan Hishamuddin mahu meminda iSA sahaja, setelah mendapat sokongan dari Kelab Penyokong Barisan Nasional, BTN, Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO).

Hishamuddin juga dilaporkan yakin membentangkan draf pindaan akta itu untuk bacaan pertama dalam sidang parlimen sekarang.

Tegasnya lagi, akta tersebut diperlukan demi mempertahankan keselamatan negara dari ancaman militan dan pengganas.

Sekiranya pindaan pada akta tersebut masih mengekalkan amalan 'tahanan tanpa bicara' bermakna akta tersebut akan kekal diprotes oleh rakyat, termasuk GMI._

Tiada ulasan: