Oleh Dr Mohamad Khir Toyo
Bajet 2010 telah pun dibentangkan. Seperti biasa riuh rendah yang dilihat ialah apa aku dapat dan apa kamu dapat. Hakikatnya jarang sekali Bajet kita tidak memberi rangsangan positif sehingga segala ulasan dan pujian menjadi klise.
2. Sesetengah pengulas pula sudah mula membuat pujian sebelum pembentangan dibuat pun. Dan ada pula yang membuatnya sebaik sahaja selesai mendengar ucapan
3. Banyak isu boleh dibahaskan dan dipersoalkan termasuk isu pemberian keistimewaan potongan cukai profesional di Iskandar Malaysia tetapi tidak kepada koridor-koridor wilayah yang lain, yang lebih penting dari segi potongan cukai ini kerana berada di luar lingkungan skala ekonomi yang mapan seperti Iskandar Malaysia yang berhampiran Singapura.
4. Jika mahu diberi potongan cukai kepada profesional yang sanggup berkhidmat di koridor (wilayah) ekonomi yang diwujudkan kerajaan tentulah wilayah-wilayah ekonomi di Malaysia Timur, Pantai Timur dan Utara lebih wajar diberi keistimewaan kerana kedudukan geografi dan tumpuan ekonomi yang lebih sukar menarik pelaburan dan tenaga profesional.
Buruk Sangatkah Masyarakat Bersubsidi?
5. Saya bukanlah seorang yang terdidik dalam bidang ekonomi. Justeru secara akademiknya saya tidak layak untuk mengulas kenyataan beberapa pemimpin kerajaan baru-baru ini mengenai subsidi.
6. Namun sebagai orang pernah menjadi Menteri Besar sebuah negeri termaju di Malaysia dan mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan selama pentadbiran saya, tentulah sedikit sebanyak saya fikir boleh memberi buah fikiran dan pandangan mengenai ekonomi negara.
7. Sejak sebulan yang lalu terdapat dua atau tiga menteri bercakap soal penghapusan subsidi dan pemberian subsidi kepada golongan yang layak sahaja. Mereka bercakap seolah-olah subsidi ini begitu buruk dan tidak sewajarnya berterusan dilaksanakan oleh kerajaan.
8. Pemikiran ini tidaklah ada bezanya dengan pemikiran semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ketika itu kita menyaksikan peningkatan mendadak harga petrol, tol, harga barang dan kos sara hidup.
9. Alasan-alasan yang sama akan terus diulang-ulang iaitu subsidi tidak membawa kemampanan (kekukuhan) ekonomi serta merugikan rakyat dan kerajaan.
10. Alasan-alasan ini dicipta oleh pemikir ekonomi berasaskan pemikiran atas kertas dan ada juga kerana mereka yang telah maju mahu mengekalkan kualiti hidup mereka dengan kesusahan kita. Hakikatnya di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri jumlah subsidi mereka mencecah berbilion dollar.
11. Subsidi sungguhpun ada keburukan kepada ekonomi negara namun dalam banyak hal ia juga membantu rakyat dan ekonomi. Ada Subsidi membantu mengawal kestabilan ekonomi dan kos sara hidup sekaligus merancakkan pusingan ekonomi hasil daripada nikmat subsidi seperti mana subsidi petrol.
Subsidi Petrol
12. Saya terkejut dengan kenyataan dua Menteri yang menyatakan subsidi petrol hanya akan diberikan kepada kumpulan sasar yakni rakyat berpendapatan rendah.
13. Secara sepintas lalu saya berpendapat ia bukan sahaja sukar dilaksanakan tetapi juga akan memberi kos tambahan kepada pengurusan kerajaan untuk menjalankan sistem pemberian subsidi, penguatkuasaan dan akhirnya akan wujud pelbagai penyelewengan.
14. Memang benar kerajaan tidak mungkin dapat memberi subsidi petrol yang begitu besar kepada rakyat. Sebab itu hari ini rata-rata rakyat yang rasional menerima keputusan pemberian subsidi 30 sen seliter.
15. Siapakah golongan berpendapatan rendah hari ini? Katakanlah kita ambil mereka yang berpendapatan RM 3, 000 dan ke bawah sebulan? Apakah mereka yang berpendapatan RM 3, 000 sebulan di Alor Setar lebih susah daripada mereka yang berpendapatan RM 5, 000 di Kuala Lumpur? Saya tidak ragu menyatakan bahawa mereka yang berpendapatan RM 5, 000 sebulan di Kuala Lumpur lebih miskin daripada mereka yang berpendapatan RM 3, 000 di Alor Setar.
16. Sebenarnya pemberian subsidi petrol seperti sekarang lebih besar faedahnya kepada kerajaan. Kerajaan mungkin terpaksa berbelanja lebih untuk subsidi petrol, namun ia memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah dan membolehkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi berbelanja lebih untuk merancakkan ekonomi.
17. Sebagai seorang yang tidak arif dalam ekonomi, saya tertanya-tanya apakah akan terjadi jika golongan berpendapatan sederhana dan tinggi yang terpaksa mengeluarkan begitu banyak wang untuk petrol, cukai pendapatan, cukai jalan mula berjimat, membeli barangan yang sebelum ini hanya untuk golongan bawahan, membeli rumah yang murah dan berhenti berbelanja hujung minggu?
18. Apa akan terjadi kepada putaran ekonomi negara?
19. Pembuat dasar atau polisi tidaklah boleh melihat sesuatu isu ekonomi terutama subsidi barangan penting kepada seluruh rakyat seperti petrol dalam bentuk yang mikro sehingga gagal melihat secara makro.
Subsidi Beras
20. Menyentuh mengenai subsidi ini juga saya tertanya-tanya apakah rasional untuk menghapuskan subsidi kepada pengilang beras yang bertujuan mengawal harga beras ST 15.
21. Menurut Menteri Pertanian, Datuk Noh Omar, penghapusan subsidi ini bertujuan untuk menjimat wang kerajaan sebanyak RM 60 juta sebulan dan mengelakkan mereka yang tidak layak menikmatinya.
22. Kerajaan khabarnya akan mengurangkan kos subsidi beras gred ST15 (15 peratus hancur) sebanyak RM51.5 juta apabila pelaksanaan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara dilaksanakan bermula 1 Disember ini.
23. Pada masa ini harga sekilo beras ST 15 ialah RM 1.80. Ini bermakna sekampit (10 kilo) beras ST 15 berharga RM 18.00. Dan mengikut maklumat ia akan naik kepada RM 24 sekampit.
24. Berdasarkan harga semasa dan harga tanpa subsidi yang dinyatakan kerajaan, ini bermakna rakyat perlu menampung kenaikan sebanyak RM 6 sekampit. Berasaskan penggunaan biasa, satu isi rumah mungkin memerlukan sekitar 20 kilogram beras sebulan. Sebanyak RM 12 sebulan perlu ditambah dalam perbelanjaan bulanan.
25. Mungkin bagi kabinet kenaikan ini tampak kecil namun ia memberi banyak kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
26. Berasaskan penggunaan purata 20 kilogram sebulan, susbsidi kerajaan sebanyak RM 60 juta sebulan; maka dianggarkan terdapat 5 juta rumah yang menggunakan beras jenis ini, (5 juta x RM 12).
27. Katakanlah terdapat kegunaan untuk kedai makan dan asrama, anggaran kovensional ialah sekitar 2 juta rumah yang menggunakannya. Jika terdapat dua hingga tiga orang di dalam rumah tersebut, maka kerajaan BN telah menyebabkan kemarahan hampir 3 juta rakyat yang akan diterjemahkan dalam pilihan raya akan datang.
28. Jika mereka mampu membeli beras yang lebih baik grednya tentulah mereka ini tidak membeli beras ST15. Bayangkan bila kenaikan ini berlaku.
29.Demikian juga di kalangan industri makanan seperti asrama dan kedai makan kecil yang margin keuntungan tidak seberapa terpaksa menanggung kos kenaikan ini?
30. Masalah ini akan berlarutan pula kepada proses pemberian dan pengambilan kupon subsidi. Ahli Parlimen akan mendapat beban politik kerana akan ada yang marah kerana tidak dapat kupon tersebut.
31. Pemberian kupon di Sabah dan Sarawak akan lebih bermasalah. Keadaan geografi dan pengangkutan di kawasan pendalaman mungkin menyebabkan kos pengangkutan untuk mereka yang miskin mendapat kupon lebih tinggi daripada harga kupon sendiri.
32. Ini belum lagi masalah keengganan peruncit untuk menerima kupon.
33. Jika kerajaan mahu menghapuskan subsidi beras ini maka kerajaan juga perlu menghapuskan sebarang kawalan ke atas idustri beras termasuk pemilikan permit masuk dan pelbagai sekatan untuk membawa masuk beras luar?
34. Kerajaan tidak boleh melakukan dua perkara yang kontradik dalam masa yang sama. Dalam keadaan kerajaan tidak mahu menanggung beban kewangan, kerajaan pula mahu bertindak sebagai penguasa yang menghalang rakyat mendapat barangan murah.
35. Kita semua ada membuat kesilapan baik semasa mentadbir, namun gunakanlah pengalaman tersebut untuk membetulkannya bukannya meneruskan kenyataan-kenyataan tidak berpijak kepada realiti rakyat banyak.
36. Janganlah jadi seperti seorang bekas menteri baru-baru ini membuat kenyataan bahawa beliau terkejut dengan begitu banyak kadar tol yang perlu dibayar sedangkan beliau berada di dalam kabinet semasa membuat keputusan menaikkan kadar tol.
37. Ketika saya menulis sebelum ini bahawa kita tidak mengharapkan kerajaan menjadi sebuah negara kebajikan tetapi negara sejahtera, tentulah saya tidak sama sekali bermaksudkan kerajaan perlu menarik subsidi-subsidi penting seperti petrol dan beras.
38. Kerajaan terlalu banyak membantu golongan miskin dan orang tua sehingga melupakan golongan muda dan berpendapatan sederhana sedangkan mereka ini merupakan majoriti pengundi hari ini.
39. Dalam pilihan raya lalu, Barisan Nasional hampir kalah kerana polisi-polisinya mengabaikan kelompok pengundi terbesar iaitu orang muda dan kumpulan berpendapatan sederhana.
40. Bagaimanakah boleh menjadi sebuah negara sejahtera jika kumpulan majoriti terabai? Jangan nanti subsidi yang diberikan indah khabar dari rupa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan