Khamis, 1 Oktober 2009

Berjalan kaki 5km selamatkan diri



Sebuah bangunan di Kota Padang, Sumatera, Indonesia yang runtuh selepas gempa bumi, semalam. - DETIK.com

BERNAMA

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Padang, Sumatera, terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer dari rumah sewanya di Gunung Tangilun, sebuah zon hijau, untuk mendapatkan perlindungan selepas gempa bumi kuat dengan magnitud 7.9 menggegarkan kawasan itu petang ini.

Fashareena Nazir, pelajar perubatan tahun dua di Universitas Andalas berkata, beliau sedang berehat apabila tiba-tiba dikejutkan dengan gempa bumi itu yang berlaku kira-kira 5 petang (waktu tempatan).

"Gempa melanda sekitar 5 petang apabila tiba-tiba berlaku runtuhan dan bunyi kuat seperti satu letupan," katanya menerusi perbualan telefon di sini hari ini.

Fashareena, 23, dari Ampang Jaya berkata, setelah menyedari gempa bumi melanda, beliau segera mengambil barang kepunyaannya, pasport serta dokumen dan terus berlari keluar dari rumah.

Beliau bersama-sama empat lagi rakan serumah warga Malaysia, terus berlari ke arah perkarangan rumah banglo setingkat bagi menyelamatkan diri.

Beliau berkata, keseluruhan rumah itu kini penuh dengan rekahan dan lantai yang tidak sekata.

Demi keselamatan, Fashareena dan rakan serumahnya berjalan kaki ke Gunung Tangilun untuk mendapatkan perlindungan daripada rakan dari universiti lain.

Fashareena berkata, beliau menjadi trauma dengan apa yang disaksikannya rumah jiran terbakar, tanah terbenam dan ada yang sekelip mata hilang daripada pandangan.

Sementara itu, bapa Fashareena, Datuk Nazir Merasalam, 48, seorang ahli perniagaan berkata, beliau bersyukur dan gembira kerana anak perempuannya selamat.

"Saya berasa bimbang apabila mendengar mengenai gempa bumi itu dan segera menelefon anak saya tetapi gagal menghubunginya beberapa kali pada mulanya.

"Tetapi sekarang, saya bersyukur dan lega dapat mendengar suaranya dan dia dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi petang ini.

Tiada ulasan: