Jumaat, 21 Ogos 2009

TPM: Usaha aibkan Rohaizat bukan tindakan sabotaj dalaman Umno

Muhyiddin: Tapi ada usaha pihak tertentu mahu jatuhkan imej BN

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya, tindakan memburuk-burukkan imej calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman adalah usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan imej BN di mata pengundi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno menafikan bahawa perkara itu adalah tindakan sabotaj di kalangan ahli-ahli parti kerana beliau yakin ahli-ahli Umno akur dengan keputusan parti yang memilih Rohaizat sebagai calon.

"Saya tidak fikir dalam Umno ada sabotaj. Kita telah sepakat, apa jua keputusan yang dibuat pimpinan parti, mereka akur.

"Sekarang ini, kita tidak bincang soal itu. Kita bekerja keras di bawah untuk yakinkan pengundi dan saya tidak lihat ada petanda-petanda dalam BN untuk ambil langkah sebegitu.

"Kenyataan itu dibuat oleh pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan imej BN... mereka buat pelbagai tohmahan.

"Saya hairan waktu lagi dekat bulan puasa, mereka ligat berkempen memburukkan, memfitnah dan sebagainya," katanya kepada media selepas melancarkan logo Perdananan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp Malaysia) dan majlis menandatangani perjanjian pajakan antara SME Corp Malaysia dan Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) di sini, hari ini.

Rohaizat, 38, diserang bertubi-tubi secara peribadi oleh parti lawan, PAS sejak dinamakan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir pada Jumaat lalu.

Beliau didakwa melakukan salah laku di firma guamannya tujuh tahun lalu dan yang terbaru, didakwa mempunyai isteri kedua, yang kini tinggal di Pahang tanpa diberikan nafkah sewajarnya.

Selain Rohaizat, calon PAS, Salleh Man, 53, turut didakwa oleh seorang penulis blog menggelapkan wang parti sebanyak RM600,000.

Mengulas mengenai trend 'pembunuhan karakter' calon-calon yang bertanding pada pilihan raya kecil tersebut, Muhyiddin berkata, tumpuan sepatutnya diberikan kepada soal dasar-dasar dan perjuangan parti.

"Sepatutnya tumpuan kita pada soal dasar-dasar parti, apa prinsip perjuangan parti yang bertanding dan BN telah jelaskan.

"Saya fikir, itu tidak boleh kita elakkan dan sekarang ini, biar pengundi buat keputusan," katanya.

Berhubung insiden kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Klang yang dilempar dengan enam bom molotov koktil awal pagi semalam, Muhyiddin berkata, beliau menganggap ia sebagai satu perkara yang serius dan percaya tindakan itu adalah untuk menggugat kredibiliti dan keupayaan SPRM.

"Saya percaya pengurusan SPRM tidak akan tunduk dengan tindakan jahat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya tahu, pihak penguat kuasa polis dan SPRM bekerja rapat untuk mengenal pasti apakah sebab dan siapa yang melakukan angkara itu," katanya.

Semalam, sebuah kenderaan pacuan empat roda kepunyaan SPRM cawangan Klang rosak selepas dilempar dengan enam bom molotov koktil.

Tiada ulasan: