Jumaat, 28 Ogos 2009

Arak kepala lembu bantah pindah kuil

Jimadie Shah Othman
(kemaskini 6.55pm)


kemaskini 6.55pm Sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah idea membina kuil baru Hindu.

Kira-kira 50 orang yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berkumpul di masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut, selepas solat Jumaat tadi.

Mereka berarak sebagai membantah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.

Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.

Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".

"Mana Xavier? Kami ada kepala lembu untuk dia," jerit seorang penyokong, setibanya di pintu masuk bangunan kerajaan tersebut yang segera ditutup kerana kehadiran mereka.

Kira-kira 10 anggota polis hanya memerhati dan mengawal keadaan sekitar kawasan tersebut.

Selepas kepala haiwan itu diletakkan di depan pintu, timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil itu, Ibrahim Sabri tampil berucap ringkas, tetapi berapi-api.

"Ini amaran. Pindahkan kuil di Sekysen 23, buatlah di Seksyen 22. Lembu ini kami hadiahkan kepada kerajaan negeri, kepada Khalid Ibrahim, Khalid Samad dan Rodziah. Ini hadiah kami."

Dalam sidang media selepas itu, pengerusi jawatankuasa itu, Mahyuddin Manaf berkata, mereka membantah tindakan kerajaan itu kerana 80 peratus penduduk kawasan itu beragama Islam.

"Mungkin ada yang salah tafsir bahawa kami biadab (berdemonstrasi), tetapi pemimpin yang mengajar supaya biadab kerana mereka membiarkan penduduk di Seksyen 23."

Dihubungi Malaysiakini selepas demonstrasi itu, Mahyuddin menafikan kepala lembu itu dibawa oleh penganjur.

"Bukan kehendak kita. Kita pun terkejut tadi," katanya.

Mahyuddin menolak tanggapan mereka ingin menghina agama Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci.

"Mungkin yang mereka (yang bawa) maksudkan dengan kebodohan. Dalam budaya Melayu, lembu ini simbol kebodohan, pemimpin yang bodoh," jelasnya (foto bawah).

Kelmarin, Dr Xavier dilaporkan meminta penduduk seksyen itu menimbang semula bantahan mereka terhadap keputusan kerajaan memindahkan kuil ke kawasan itu.

Beliau dipetik berkata, kerajaan negeri bercadang memindahkan pembinaan Kuil Sri Maha Mariaman kira-kira 300 meter dari tapak cadangan asal pembinaannnya kerana ia berdekatan dengan surau.

Berikutan tapak itu dianjakkan agak jauh, kerajaan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina jalan raya di situ bagi memudahkan penganut Hindu ke kuil tersebut.

Sebelumnya, kuil di Seksyen 19 dipindahkan ke Seksyen 23 kerana kedudukannya terlalu rapat dengan kawasan kediaman.

Keputusan ini dibantah oleh sekumpulan penduduk Seksyen 23 dengan alasan mereka beragama Hindu hanya minoriti di situ.

Kuil itu dibuat untuk keperluan penganut Hindu di Seksyen 19, 20 dan 23 Shah Alam.

Tiada ulasan: