Sabtu, 29 Ogos 2009

Intai Memey lambat buka pintu

Oleh Siti Nurazlinee Azmi


KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam pelakon, Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, yang ditemui sedang duduk di kaunter pejabat berada dalam keadaan terkejut dan wajahnya kusam disebabkan baru bangun tidur.

Saksi kedua pendakwaan yang juga Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Gombak Barat, Kyairool Nizam Khairuddin, 25, berkata, wajah Memey juga sembap (bengkak) dan ada garisan di pipinya yang disebabkan tertidur dengan beralaskan sesuatu.

Kyairool Nizam berkata, sebelum pintu dibuka beliau mengintai menerusi bahagian bawah pintu utama pejabat itu dengan menggunakan cahaya dari dalam dan ternampak bayangan kaki seseorang sedang bergerak.

“Saya mengambil inisiatif untuk mengintai selepas mengambil masa hampir 45 minit mengetuk mangga yang dikunci ke jeriji besi. Selain itu, saya juga menekan loceng di dinding luar pejabat itu hinggakan nak tercabut loceng berkenaan. Tetapi pintu itu masih tidak dibuka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan kes khalwat pasangan pelakon, Memey bersama Norman Hakim atau nama sebenar Mohamed Norhakim Zaidon, 33, di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam antara 1.45 pagi hingga 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Menjawab soalan Pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, kemungkinan ada jalan lain untuk mereka di luar melihat ke dalam bangunan itu, beliau berkata tiada dan hanya menerusi bahagian bawah pintu utama.

Bagaimanapun katanya, sesiapa yang berada dalam bangunan pejabat itu mengetahui akan kehadiran mereka memandangkan ia boleh dilihat menerusi lubang pada pintu.

Terdahulu, Hakim Syarie Salehudin Yatim membenarkan permohonan Muhamad Nazri untuk meminda pertuduhan, iaitu masa yang tercatat dalam kertas tuduhan daripada jam 3 pagi kepada antara jam 1.45 pagi hingga 3 pagi.

Dalam perbicaraan lalu, saksi pertama, Pegawai Penguat Kuasa Jais, Abdul Rahman Lai Abdullah mengakui tuduhan terhadap Norman dan Memey tidak betul kerana jika mengikut fakta kes, kedua-duanya ditemui berasingan di premis berlainan dan tidak ditemui serentak pada jam 3 pagi.

Beliau dalam keterangannya, bagaimanapun menganggap jarak antara jam 2 dan 2.30 pagi sebelum pihaknya memasuki pejabat itu dan menemui Memey di tingkat bawah menjadi sebab pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk timbulnya syak khalwat.

Perbicaraan bersambung 9 Oktober depan.

Tiada ulasan: