Isnin, 31 Ogos 2009

Lebih 380 Penunggang Motosikal Ditahan Di Malam Merdeka

BERNAMA


KUALA TERENGGANU -- Lebih 380 penunggang motosikal ditahan di sekitar bandar raya Kuala Terengganu dalam operasi membanteras lumba motor haram yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi Isnin.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kuala Terengganu ASP Mohd Faudzi Mohammad berkata daripada jumlah itu sebanyak 146 saman dikeluarkan dengan 180 pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen dan insurans motor yang sah.

"Operasi dijalankan oleh lebih 60 anggota dan pegawai dengan mengadakan rondaan dan sekatan jalan raya di sekitar lokasi strategik di kawasan bandar raya yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan penunggang motosikal," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Bahagian Trafik Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan dan penunggang termasuk ujian air kencing.

Hasil pemeriksaan itu sebanyak lapan buah motosikal disita manakala daripada ujian rambang air kencing yang dijalankan terhadap 44 orang penunggang dan pembonceng motosikal mendapati enam daripadanya positif pil kuda.

Tiada ulasan: