Abdul Rahim Sabri
Mohamad Ali Abdullah masih lagi menuntut Rohaizat Othman, bekas calon BN di Permatang Pasir, agar menyelesaikan isu anak perempuannya Rafizah dengan pemimpin Umno itu.
Peneroka Felda dari Jengka, Pahang itu meminta setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh itu menghubunginya bila-bila masa untuk menyelesaikan dengan wanita itu yang didakwa isteri keduanya.
"Buat penyelesaian, jalan terbaik adalah dengan berbincang dengan kedua-dua pihak. Kalau tindakan mahkamah, ia memakan masa, makan modal.
"Kita boleh berbincang cara keluarga," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
"Saya minta dia menghubungi saya melalui telefon atau perjumpaan empat mata, sama ada mengaku Rafizah sebagai isteri atau melepaskannya."
Mohamad Ali diminta mengulas tindakan yang akan diambilnya terhadap Rohaizat yang menafikan bahawa Rafizah itu isteri keduanya dalam kesibukan kempen pilihanraya kecil DUN tersebut yang berakhir Selasa lalu.
Bapa wanita itu hujung minggu lalu menuntut Rohaizat membuat pengakuan terbuka agar mengaku Rafizah isterinya itu yang dikahwini pada 2005.
Mohamad Ali yang mendakwa mewalikan perkahwinan Rafizah-Rohaizat di pejabat kadi daerah Pekan dan didaftarkan di situ pada tahun tersebut.
Dihubungi hari ini, Mohamad Ali berkata setakat ini beliau belum dihubungi oleh Rohaizat untuk menyelesaikan masalah ini.
Mohamad Ali juga berkata, beliau menerima panggilan daripada Rafizah – dipercayai berada di Lembah Kelang – yang meminta agar tidak diganggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan